Penguasaan Bahasa Melayu: Satu Penilaian Keefisienan Masyarakat Kini

   Oleh Lim Swee Tin

    Bahasa merupakan sesuatu yang hidup. Demikian pendapat kebanyakan orang. Bahasa tidak cukup sekadar dipelajari, namun perlu dikuasai. Menguasai bahasa bukan hanya dengan menghafal kosa kata atau mahir mengingat struktur binaan ayat-ayatnya sahaja. Pengguna bahasa yang sejati ialah pengguna bahasa yang berjaya menyerapkan budaya yang melatari bahasa itu ke dalam dirinya. Jika tidak, penguasaan bahasa itu tidak akan mendalam.

   Inilah hakikat yang mesti difahami oleh sesiapa sahaja. Pelajar di sekolah tidak mungkin dapat menjawab soalan lisan dengan sempurna apabila hanya seminggu dua membiasakan dirinya dalam pertuturan menggunakan bahasa Melayu untuk lulus ujian tersebut. Seorang calon temu duga juga mungkin akan “tersangkut-sangkut” menjawab soalan sekiranya berlatih bertutur dan menjawab soalan cuma semalaman atau lebih!

    Penguasaan bahasa mencakupi banyak aspek. Hakikat ini mesti benar-benar disedari seandainya seseorang ingin menguasai bahasa Melayu dalam erti kata yang sebenar. Dengan mengambil kira bahawa pemerolehan bahasa itu sangat penting, seseorang itu wajar menerima kenyataan bahawa aspek budaya, situasi, dan konteks tidak dapat dipisahkan dengan bahasa.

    Kebanyakan pengguna bahasa kurang ataupun tidak menyedari bahawa kelemahan ini terjadi disebabkan ketidakfahaman akan peri pentingnya ilmu mengenai bahasa. Seseorang itu mungkin boleh menjawab beberapa soalan atau pertanyaan-pertanyaan yang mudah kerana menguasai kosa kata asas yang mencukupi. Namun begitu, keadaannya akan berbeza apabila hal yang berkaitan dengan budaya sudah mula mencelah.Soal jawab yang berikut ini barangkali dapat menunjukkan bahawa seseorang itu memahami bahasa Melayu:

Siapakah nama awak?

Nama saya Wah Chong.

Di manakah Wah Chong tinggal?

Saya tinggal di Segambut.

    Walau bagaimanapun, Wah Chong berkemungkinan sukar menyelami maksud daripada konteks budaya apabila aras soal jawab itu dipertingkatkan seperti yang berikut:

Kami berpandangan adalah kurang manis Wah Chong datang ke sesi ini dengan memakai seluar pendek.

Apakah pendapat Wah Chong?

Wah Chong mempunyai banyak jiran berbangsa Melayu. Bolehkah beritahu kami, dalam berapa buah rumah yang berjiran dengan Wah Chong?

    Penggunaan frasa “kurang manis” sudah tentu menyukarkan pemahaman sesetengah pengguna bahasa yang menguasai bahasa Melayu secara permukaan sahaja. Kata ‘“manis” lazimnya dikaitkan dengan rasa minuman atau makanan. Konteks penggunaannya dalam ayat di atas sudahpun memasuki sempadan budaya. Demikian, penggunaan “dalam” yang pastinya janggal sedangkan perkataan tersebut menggantikan kata “kira-kira.”

    Banyak berlaku keadaan sebagaimana yang digambarkan di atas apabila kita berhadapan dengan pengguna bahasa yang mempelajarinya secara permukaan sahaja. Menguasai bahasa secara permukaan, dalam konteks apa-apa bahasa sekalipun, jauh daripada mencukupi untuk dikatakan seseorang itu menguasai bahasa yang berkenaan. Dalam konteks mempelajari bahasa Melayu, hal ini perlu ditekankan. Jika tidak,lama-kelamaan bahasa Melayu mungkin semakin menipis dari segi pemilikan dalam kalangan penggunanya. Bahasa Melayu tentulah tidak cukup untuk menjadi bahasa komunikasi sepintas lalu sahaja. Penguasaan bahasa yang kukuh memungkinkan seseorang itu mampu mengungkapkan emosi atau perasaan, fikiran yang kompleks, serta dapat mengungkapkan sesuatu secara halus dan berseni.

Rencana utama ini dipetik dari Pelita Bahasa bulan Mac

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *