Pengutip Jantung Sendiri di Lorong Seni

 Oleh Haniff Yusoff

    Sebenarnya ebenarnya cinta saya sudah lama berakar umbi di dalam sanubari. Namun, saya tidak menyangka ketika pertama kali berkunjung ke lorong seni, jantung saya pun tergolek luruh dari tempat asalnya. Mujur ketika jantung saya luruh, tiada sesiapa yang menyedarinya kerana ketika itu penonton yang lain begitu asyik menyaksikan sebuah persembahan di pentas utama. Saya fikir hal ini perkara normal buat diri saya yang kian dimamah usia dan mungkin tidak akan berulang lagi peristiwa ngeri seperti itu. Tetapi firasat saya meleset, rupa-rupanya jantung saya luruh lagi acap kali menjejakkan kaki ke lorong seni. Selalunya ketika halwa telinga saya dihidangkan dengan bait-bait lirik lagu yang entah siapa pencipta dan penyanyinya, lalu perkara yang di luar jangkahan saya ini pun berlaku. Sejak itu juga, saya namakan profesion saya sebagai seorang pengutip jantung sendiri di lorong seni. Itu setepat dan selayaknya saya kira.

    Walau bagaimanapun, usahlah khuatir kerana saya masih hidup biarpun jantung saya luruh acap kali bertandang ke sini. Umur saya masih panjang dengan izin dan kasih sayang dari Tuhan. Saya juga bukanlah hantu yang menjelma menjadi manusia tetapi saya hanya manusia biasa seperti kalian yang mempunyai jiwa dan perasaan. Setiap kali jantung saya tercabut dan luruh, jantung baru pula akan tumbuh. Jantung yang luruh, saya kutip dan terus dimasukkan ke dalam balang kaca khas yang telah saya beli di kedai cenderamata. Begitulah situasinya yang mungkin boleh dibayangkan oleh kalian. Di dalam kamar saya pula telah tersedia sebuah rak yang sememangnya khusus untuk saya letakkan balang kaca yang mengandungi jantung saya ini. Saya kira, balang kaca berisi jantung saya sendiri ini merupakan barang perhiasan paling unik yang pernah saya miliki.

Cerpen ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Mei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *