Kesinambungan Legasi Bahasa

      No Comments on Kesinambungan Legasi Bahasa

Oleh Mohamad Zuber Ismail dan Najatul Najwa Shafiqah Tajudin

    Apabila memperkatakan tentang bahasa Melayu dalam bidang ekonomi, politik mahupun sosial, kedudukan dan prestij bahasa Melayu di Malaysia amat membimbangkan. Terpalit satu stigma yang terus melekat di minda dan pemikiran segelintir masyarakat bahawa bahasa Melayu dianggap kurang bermaya, tidak praktikal dan tidak mempunyai nilai komersial dan ekonomi. Buktinya dapat dilihat apabila Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) lebih memartabatkan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu, manakala Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) juga kelihatan cenderung ke arah mendaulatkan bahasa Inggeris apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) mula menitikberatkan penggunaan bahasa tersebut.

    Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia memerlukan perancangan yang cukup rapi dan teliti. Akibat kesan penjajahan, kegemilangan bahasa Melayu di negara ini hampir terpadam. Oleh itu, mampukah bahasa yang pernah menempa kegemilangan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka ini bersaing pada peringkat antarabangsa? Dalam kita memandang sinis terhadap keupayaan bahasa Melayu di dalam negara, namun hal sebaliknya berlaku apabila pihak luar khususnya institusi pengajian tinggi di luar negara terus merancakkan usaha untuk memantapkan dan mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu di institusi pendidikan mereka.

    Hal ini merupakan suatu gambaran yang jelas bahawa bahasa Melayu telah mendapat kedudukan yang utuh dan istimewa di dunia luar. Kedudukan bahasa Melayu di luar negara membuktikan bahawa bahasa kita terus mendapat tempat dan permintaan. Oleh itu, perancangan yang rapi dan agenda untuk merencanakan usaha-usaha yang proaktif, konsisten dan tepat dalam menyokong dan memperkukuh bahasa Melayu di luar negara harus dilipatgandakan.

    Melihat rentetan dan kronologi sejarah, bahasa Melayu telah berkembang dengan pesatnya di institusi pendidikan luar negara. Hal ini terbukti dengan penubuhan Jabatan Bahasa Melayu di beberapa buah universiti tersohor di seluruh pelosok dunia seperti, Institute of Asian and African Studies, Moscow, Oriental Faculty St. Petersburg University, Beijing Foreign Studies University, China Radio Institute, Guangdong University of Foreign Studies, Institute of Broadcasting Beijing,Peking University, Pyongyang University of Foreign Studies, Hankuk University of Foreign Studies, Pusan University of Foreign Studies, Sungshim University of Foreign Languages, Woosong University, Tokyo University of Foreign Studies, University of Shizuoka Tashkent State Oriental Institute, Uzbekistan State University of World Languages, Johann Wolfgang Goethe University of Frankfurt, Leidin University Belanda, Ohio University Amerika Syarikat, serta Victoria University of Wellington, New Zealand.

    Sebenarnya masih terdapat banyak lagi universiti di luar negara yang menawarkan kursus bahasa Melayu ini. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai permintaan dan pasaran yang tinggi di seluruh dunia disebabkan pelbagai keperluan pada era globalisasi dan modenisasi ini. Situasi ini menunjukkan bahawa keagungan dan kehebatan maruah bahasa Melayu suatu ketika dahulu terus-menerus menjadi momentum dan medium untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu di dunia luar. Oleh hal yang demikian, kerajaan yakin bahawa usaha ini dapat menyumbang kepada pembangunan bahasa Melayu yang berterusan pada peringkat antarabangsa serta memberikan ruang yang lebih luas untuk bahasa Melayu berkembang ke seluruh pelosok dunia. Meskipun pada masa ini bahasa Melayu belum diiktiraf sebagai bahasa antarabangsa yang tersohor seperti bahasa Inggeris, namun bahasa ini tetap mempunyai kedudukan dan keunikannya tersendiri selaras dengan perkembangan bahasa utama dunia, sehingga menjadi bahan pengajaran kepada penutur asing.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa Keluaran Mei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *