Belajar Falsafah untuk Pintar Matematik dan Bahasa Inggeris

Oleh Hannah Zulkifli

    Penentangan enentangan pejuang bahasa terhadap “dasar bahasa” yang dilaksanakan oleh kerajaan, nampaknya tidak berpenghujung. Berikutan keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) melalui “pendaratan lembut” pejuang bahasa kelihatan leka seketika tanpa menyedari bahawa pendukung bahasa Inggeris belum berundur sepenuhnya. Tiba-tiba, kerajaan memperkenalkan Program Dwibahasa (DLP) sebagai menggantikan PPSMI yang dilaksanakan pada tahun 2003. Sekali lagi pejuang bahasa terjun ke dalam gelanggang menentang DLP.

    Sebenarnya, negara berbahasa Inggeris, seperti AS dan England juga terpaksa bergelut dengan masalah penguasaan yang lemah dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, bahkan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Beberapa tahun lalu, di AS, bagi mengatasi masalah ini, negara itu dicadangkan supaya “pandang ke Timur,” iaitu Finland dan Korea Selatan, disebabkan pendidikan di kedua-dua buah negara ini sememangnya bertaraf dunia.

    Di AS, wujud kepercayaan bahawa kepintaran atau kelemahan matematik berkait rapat dengan genetik. “Saya bukan orang matematik.” Ungkapan ini kedengaran sepanjang masa kerana orang Amerika percaya adanya “orang matematik.” Dalam “The Myth of ‘I’m Bad at Math’,” Miles Kimball dan Noah Smith, menegaskan bahawa betapa pentingnya untuk meyakinkan para pelajar supaya mereka dapat menjadikan diri mereka pintar untuk membantu memperoleh gred yang lebih tinggi. Kimball dan Smith yang menulis dalam The Atlantic pada akhir Oktober 2013, mengingatkan, “Matematik merupakan momok mental yang sangat besar bagi orang Amerika yang tidak yakin. Jika kita dapat meyakinkan pelajar bahawa setiap orang dapat belajar Matematik, hal ini sepatutnya merupakan langkah pendek untuk meyakinkan mereka supaya dapat belajar apa-apa sahaja, sekiranya mereka benar-benar bekerja kuat.”

    Oleh hal yang demikian, pelajar di AS digalakkan supaya menanamkan sikap yakin pada diri sendiri dan bekerja keras untuk menguasai mata pelajaran Matematik sambil menafikan kemampuan genetik. Sementara itu, di England pula kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak lebih pintar matematik dan bahasa Inggeris dengan diajarkan falsafah. Kanak-kanak berumur antara sembilan hingga 10 tahun yang menyertai kelas falsafah seminggu sekali selama setahun ternyata dapat merangsang kemahiran matematik dan celik huruf (literasi) mereka. Lebih 3000 kanak-kanak di 48 buah sekolah di seluruh England menyertai perbincangan mingguan tentang konsep seperti kebenaran, keadilan, persahabatan, dan ilmu pengetahuan, dengan masa dibahagi-bahagikan untuk renungan senyap, membuat soalan, mengemukakan soalan, serta mengasaskan satu pemikiran idea yang lain.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Mei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *