Bercerita sambil Belajar Bahasa Melayu

      No Comments on Bercerita sambil Belajar Bahasa Melayu



Pengajaran dan pemelajaran merupakan proses kognitif, afektif dan psikomotor yang kompleks. Pengajaran dan pemelajaran menghasilkan perubahan dalam tingkah laku seseorang atau sesuatu organisma, atau kebolehan seseorang. Perubahan tersebut dihasilkan melalui pengalaman, latihan atau interaksi antara individu dengan persekitarannya.

Menurut Kamus Dewan, edisi ketiga, teknik ialah kaedah mencipta sesuatu hasil seni, seperti muzik dan karang-mengarang. Edward M. Anthony mendefinisikan teknik sebagai muslihat atau taktik yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum sewaktu mengajarkan sesuatu bahagian bahasa yang tertentu. Menurut Kamaruddin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz dalam Pengajian Melayu III: Komunikasi Bahasa, teknik didefinisikan sebagai pengendalian sesuatu organisasi yang benar-benar berlaku di bilik darjah yang digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. Teknik merupakan alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan pengajaran yang telah dipilih untuk muridnya. Teknik yang dipilih haruslah sejajar dengan kaedah yang digunakan dan seirama dengan pendekatan yang dianuti.

Teknik bercerita untuk menyampaikan pelajaran bukanlah perkara baharu Teknik itu biasanya digunakan oleh orang kita pada waktu tertentu, khususnya sewaktu mengajar anak mereka. Situasi yang sama dapat berlaku dalam pengajaran dan pemelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu apabila guru menyampaikan isi pelajaran kepada murid dengan menggunakan teknik tersebut. Murid akan memberikan lebih tumpuan dan perhatian apabila suasana yang diwujudkan lebih menyeronokkan dan berkesan.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Januari 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *