Sukarnya Berbahasa Santun!

      No Comments on Sukarnya Berbahasa Santun!

Oleh Suhaizi Suhaimi

Bahasa merupakan alat pertuturan bagi memudahkan komunikasi yang melibatkan dua orang atau lebih. Bahasa juga berperanan untuk mencerminkan aspek sosial dalam sesebuah masyarakat (Zulkifley,2013). Seseorang itu seharusnya bijak menyesuaikan setiap kata-kata yang digunakan semasa berinteraksi. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya seseorang individu yang tidak mampu menguasai kaedah berbahasa dengan baik, individu tersebut akan dianggap tidak sopan. Situasi tersebut lebih dikenali sebagai kesantunan berbahasa yang membawa maksud penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya, (Awang Sariyan, 2007)

    Dalam masyarakat Melayu, kesantunan dilihat merujuk kepada latar sosiobudaya masyarakatnya yang berpegang pada adat resam di samping pegangan ajaran Islam yang dianuti. Hal ini terbukti dalam perbilangan adat yang berbunyi “adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab Allah”. Namun begitu, berlaku kekangan dalam melaksanakan amalan ini walaupun masih dianggap sopan secara teorinya.

    Kesantunan berbahasa amat berkait rapat dengan sistem sapaan dalam bahasa Melayu. Menurut Amat Juhari Moain (1989), sistem sapaan dalam bahasa Melayu terbahagi kepada tiga aspek utama, iaitu kata ganti nama, kata rujukan hormat dan kata gelaran atau pangkat. Namun begitu, perbezaan penggunaan sistem sapaan bagi kata ganti nama diri kedua “kamu” dan “awak” bagi kaum Melayu dan Cina dilihat membawa definisi kesantunan berbahasa yang berbeza.

    Hal ini bermaksud, terdapat penggunaan kata ganti nama diri tersebut bagi kaum Cina yang tidak bertepatan bagi kaum Melayu untuk diujarkan pada perbezaan jarak status dan sosial. Sebagai contoh, dalam situasi perbualan antara seorang murid dengan gurunya. Situasi ini melibatkan perbezaan jarak status apabila guru merupakan golongan yang lebih tinggi statusnya daripada seorang murid. Masalah akan timbul apabila pelajar Cina sering menggunakan kata ganti nama diri “awak” ketika bertutur dengan seorang guru.

    Hal ini semestinya bertentangan dengan kesantunan bahasa yang melibatkan perbezaan jarak status. Hal ini berbeza dengan pelajar Melayu yang lebih santun menggunakan perkataan “cikgu” berbanding dengan kata ganti nama “awak”. Namun begitu, bagi pelajar Cina, penggunaan kata ganti nama “awak” dianggap sopan kerana digunakan khas untuk orang yang dihormati seperti golongan pendidik (Huang, 2007).

Petikan ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Mei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *