Keterampilan Guru Bahasa Melayu Abad ke-21

Oleh Jais Sahok

    Perbincangan tentang ciri-ciri guru abad ke-21, keperluan guru dan tindakan untuk menerampilkan guru semasa dan bakal guru Bahasa Melayu agar mampu memenuhi sifat dan ciri-ciri guru yang dinyatakan itu masih berakhir dengan tanda tanya. Pendidikan Bahasa Melayu tampak terasing dan tidak mustahil dianggap mudah dan enteng.

    Guru Bahasa Melayu di bilik darjah masih menggunakan kaedah pengajaran berpusatkan guru, guru memberikan murid menerima, guru melakukan pengajaran tanpa memberi pertimbangan bahawa kemungkinan muridnya tidak belajar walaupun guru tersebut mengajar. Terdapat juga gagasan terkini, yang mengetengahkan konsep bahawa guru tidak semestinya mengajar asalkan mereka dapat memudahkan pelajarnya belajar. Kaedah ini lebih sesuai dengan sifat dan ciri generasi terkini. enggunaan teknologi peranti yang maksimum, pewujudan bilik darjah yang berinformasi, pemberian autonomi pembelajaran kepada pelajar memaparkan pelbagai pembaharuan supaya pelajar menguasai mata pelajaran Bahasa Melayu.

    Pelajar masih bersifat individualistik, mahir dan terampil dalam kerja bertulis tetapi kurang berketerampilan dalam komunikasi interpersonal, tidak gemar akan kerja projek melalui perbincangan yang bersifat kolaboratif dan koperatif, sedangkan dalam kehidupan seharian dalam masyarakat, bekerja bersama-sama itulah yang menjadi tuntutan. Akhirnya, dalam kalangan guru sendiri kian wujud jurang yang besar, iaitu jurang antara guru yang mengajar secara berpusatkan pelajar dengan mereka yang mengamalkan kaedah pengajaran secara berkumpulan dan berlangsung secara kolaboratif.

    Guru Bahasa Melayu (GBM) perlu mempunyai kompetensi linguistik yang tinggi. Untuk tujuan itu, GBM hendaklah memastikan dirinya menjadi penyerap dan penerima ilmu Bahasa Melayu dari semasa ke semasa dalam keadaan yang lebih rinci dan mampu menyesuaikannya di dalam bilik darjah untuk dikuasai oleh pelajarnya. Ilmu bahasa yang mendalam dan rinci membantu keterampilan yang akan memudahkan pelajarnya. Sebaliknya, jika ilmu bahasa guru ala kadar sahaja, mereka tidak mampu membimbing dan melonjakkan kemahiran linguistik anak didiknya.

    Aspek komunikasi diberi keutamaan dalam gaya pembelajaran abad ke-21. Kemahiran komunikasi interpersonal menjadi bukti keterampilan ilmu yang dikuasai. Seseorang pelajar yang sudah melalui sesi pembelajaran hendaklah menggunakan ilmu itu dalam komunikasinya. Begitu juga dengan guru. Dalam hal ini, GBM bukan sahaja menggunakan bahasa Melayu baku yang menjadi contoh kepada pelajarnya, malah turut merangsang komunikasi interpersonal antara dirinya dengan pelajar. GBM hendaklah memicu dan kemudian memacu komunikasi berkesan agar pelajarnya mampu menjadi komunikator interpersonal dalam kehidupan sehariannya. Ciri ini penting kerana dalam kehidupan seharian komunikasi perlu merentasi semua aspek kehidupan dalam semua budaya dan melibatkan semua orang.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Mei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *