Pemelajaran dan Pemerolehan Bahasa Kanak-Kanak Sindrom Down

Pengulas:  Siti Nur Hidayah Othman Bakar

Judul Buku:  Bahasa dalam Komunikasi Kanak-kanak Sindrom Down

Penulis:  Puteri Roslina Abdul Wahid

Penerbit:  Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga:  RM20.00

    Bahasa mempunyai pelbagai kaedah untuk ditafsirkan dan digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Oleh yang demikian, Bahasa dalam Komunikasi Kanak-kanak Sindrom Down (SD) ini dihasilkan khusus untuk memahami SD dalam erti kata sebenar. Kanak-kanak SD merupakan kanak-kanak yang mempunyai keistimewaan dari segi aspek fizikal dan mental. Mereka ini juga berbeza berbanding dengan kanak-kanak normal dari segi perkembangan pertuturan dan bahasa kerana perkembangan minda kanak-kanak SD mengambil masa yang panjang.

    Perkembangan sosial kanak-kanak melibatkan tiga aspek, iaitu pertuturan, bahasa dan komunikasi. Bahasa dan komunikasi memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak SD. Hal ini menunjukkan bahasa dan komunikasi merupakan asas bagi pemelajaran dan pembinaan keupayaan lain kanak-kanak SD. Pada hakikatnya, manusia mempelajari bahasa daripada orang sekeliling dan persekitaran. Bahasa merangkumi gerak badan, isyarat dan pertuturan.

    Buku yang terdiri daripada lapan bab ini menjelaskan pada peringkat awal maksud Sindrom Down, kejadian kelahiran , jenis-jenis, ciri-ciri, penerimaan dan masalah kesihatan kanak-kanak SD. Mereka mempunyai emosi yang sama seperti kanak-kanak lain. Mereka berminat untuk mempelajari banyak perkara baharu, mudah tersenyum, suka ketawa serta mudah mesra sekiranya telah lama berkenalan. Kemahiran komunikasi kanak-kanak SD dipengaruhi oleh dua perkara, iaitu masalah artikulasi atau sebutan dan kelewatan kemahiran komunikasi. Faktor fizikal kanak-kanak SD terletak pada saluran nasal, sinus yang kecil dan lidah agak terkelepai serta otot tambahan di lidah yang tidak kuat menyebabkan sehingga mereka sukar untuk bertutur.

    Penulis juga menerangkan maksud bagi bahasa dan komunikasi serta kemahiran bahasa dalam komunikasi. Komunikasi verbal melibatkan penggunaan bahasa. Bahasa ialah kod yang wujud berdasarkan peraturan dan ketetapan tertentu yang menentukan makna dan cara penggunaan kod. Komunikasi bukan verbal ialah proses menghantar dan menerima mesej tanpa suara. Seterusnya, pendekatan pemerolehan bahasa dan teori komunikasi dalam memperkatakan bahasa dalam komunikasi SD turut dikemukakan. Teori pemerolehan bahasa mempunyai empat jenis iaitu behaviorisme, mentalisme, interaksionisme dan konstruktivisme. Teori komunikasi pula berfungsi untuk menyusun dan membuat rumusan tentang suatu pengalaman untuk membolehkan mereka memahami bidang komunikasi. Ternyata, penulis melakukan kajian lapangan untuk melihat keseluruhan proses pemerolehan bahasa bagi penelitian bahasa dalam komunikasi kanak-kanak SD.

    Perkembangan kanak-kanak SD merangkumi segala aspek pertumbuhan bermula dari detik kelahiran, proses pembesaran hingga remaja. Perkembangan fizikal merupakan proses sepanjang hayat namun perkembangan ini mungkin lewat bagi kanak-kanak SD kerana proses pembesaran mereka tidak sama berbanding dengan kanak-kanak normal. Pemerolehan kemahiran mandiri, kecekapan sosial dan intelektual juga dapat membentuk perwatakan dan menambah pelbagai pengalaman yang diperlukan oleh kanak-kanak.

    Seterusnya, program pendidikan khas bagi kanak-kanak bermasalah pemelajaran amat penting dalam menentukan hala tuju mereka. Pengajaran yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pendidikan murid dengan keperluan khas. Pendidikan khas perlu memasukkan subjek Bahasa Melayu berdasarkan keupayaan individu, mengikut tahap fungsian mereka.

    Pemerolehan bahasa verbal dan bahasa bukan verbal turut ditekankan dalam buku ini. Pemerolehan bahasa verbal kanak-kanak SD dapat dilihat dari dua sudut , iaitu kemahiran bahasa ekspresif dan kemahiran bahasa reseptif. Manakala, bahasa bukan verbal merupakan perlakuan manusia seperti gerak badan, isyarat,jarak, nada suara yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi. Pada kebiasaannya, komunikasi bukan verbal lebih kerap digunakan dalam kehidupan kita sehari-hari. Kanak-kanak SD mempunyai kemahiran bukan verbal pada peringkat awal perkembangan. Walau bagaimanapun, mereka mengalami kelewatan dalam perkembangan fizikal dan ini menyebabkan mereka sukar untuk meneroka persekitaran secara berkesan.

    Pada dasarnya, kanak-kanak yang telah menguasai pragmatik berkeupayaan menggunakan bahasa yang sopan dalam konteks sosial. Bahasa melambangkan kehalusan dan kesopanan, serta tingkah laku penuturnya. Pragmatik menyerlahkan peraturan sosial yang berkaitan dengan penggunaan bahasa yang baik dan betul dalam pelbagai konteks. Perkembangan kognitif yang memberangsangkan akan mempengaruhi perkembangan pragmatik kanak-kanak.

    Perincian selanjutnya menekankan aspek peranan ibu bapa dalam mendidik kanak-kanak SD serta langkah-langkah dalam mendampingi mereka. Contohnya proses pemelajaran dan komunikasi bahasa melalui penglibatan aktif berbanding hanya duduk dan dengar semata-mata. Ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa untuk berinteraksi dan mengulangi apa-apa yang dipelajari anak di sekolah. Sewajarnya, mereka memastikan kanak-kanak SD mempunyai perbendaharaan kata yang mencukupi untuk berkomunikasi sebelum memulakan persekolahan.

    Sebagai kesimpulannya, penerbitan buku ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada umum bahawa bahasa merupakan alat yang penting dalam komunikasi kanak-kanak SD. Pengetahuan dan pemahaman tentang Sindrom Down dalam kalangan masyarakat hari ini masih kurang kerana tidak diberi pendedahan yang meluas oleh media. Oleh yang demikian, pemelajaran dan pemerolehan bahasa bagi kanak-kanak SD menuntut kesabaran yang amat tinggi daripada ibu bapa dan guru kerana bahasalah yang bertindak sebagai alat penghubung dalam komunikasi kanak-kanak SD dengan dunia luar.

Ulasan ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Mei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *