Penggunaan Grafik dalam Novel Tirani

      No Comments on Penggunaan Grafik dalam Novel Tirani

Oleh Samat Buang

    Mengajarkan genre novel dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Bahasa Melayu sememangnya merupakan suatu pengalaman yang amat sukar bagi kebanyakan guru. Hal ini dikatakan demikian kerana bukan semua pelajar yang benar-benar membaca novel yang ditetapkan mengikut zon masing-masing. Ada yang sekadar membaca sinopsis novel semata-mata daripada buku-buku ulasan yang sedia ada di pasaran. Ada yang membaca sehingga berbulan-bulan untuk menghabiskannya.

    Ada pula yang membacanya tetapi lupa sebahagian daripada cerita yang dibaca, lebih-lebih jika novel tersebut terlalu tebal. Bagi peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lazimnya terdapat dua buah novel yang perlu dibaca dan dihayati semasa berada di tingkatan 4 dan 5 sebagai bahan wajib dalam pengajaran Komsas. Oleh itu, fokus perbincangan dalam makalah kali ini lebih tertumpu pada penggunaan bahan grafik dalam novel supaya dapat membantu mereka mengingat semula cerita atau karya yang dibaca dengan mudah dan pantas. Bagi memudahkan perbincangan, novel Tirani, karya Beb Sabariah yang diguna pakai oleh pelajar tingkatan 5 di negeri Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur dirujuk sebagai panduan.

    Perkataan grafik berasal daripada perkataan Greek “graphikos” yang bermaksud lukisan. Grafik ialah bahan yang dilukis sebagai karangan visual yang merupakan kombinasi gambar, lambang, simbol, huruf, angka, perkataan, lukisan, dan lakaran yang dijadikan satu media untuk memberikan konsep dan idea daripada pengirim kepada sasarannya. Dari segi aspek praktikal, grafik mampu menghubungkan fakta dan idea dengan jelas melalui satu kombinasi lukisan, lakaran, lambang, contengan, perkataan, simbol dan gambar. Dengan kata lain, grafik membawa kepada kejelasan persepsi, kekuatan bahan gambaran dan persembahan yang berkesan. Oleh hal yang demikian, amat wajar bagi seorang guru mempraktikkan prinsip-prinsip pengetahuan asas grafik sebagai panduan agar dapat menghasilkan bahan pengajaran yang mudah menepati objektif pengajaran dan bersistematik.

    Salah satu kaedah yang digalakkan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Komsas khususnya genre novel termasuklah penggunaan bahan grafik seperti gambar. Kita sering mendengar ungkapan bahawa “sebuah gambar membawa seribu perkataan”. Pernyataan ini menggambarkan bahawa bahan visual dapat dijadikan sumber pengajaran yang menarik dan berkesan. Kebenaran dan kejayaan pernyataan ini bergantung pada daya kreativiti seseorang guru.

    Bahan yang berkesan akan mendorong interaksi yang aktif di dalam bilik darjah dan mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mencabar. Sebagai contoh, penggunaan bahan grafik seperti gambar dapat membantu daya ingatan pelajar terhadap karya yang dibaca lebih berkesan. Lebih-lebih lagi dalam kajian novel banyak aspek sastera dan bukan sastera dipelajari termasuk tema, persoalan, watak dan perwatakan, latar (masa, tempat dan masyarakat), gaya bahasa, nilai, pengajaran, dan sebagainya. Bagi memudahkan pelajar mengingat semula segala aspek Komsas tersebut, mereka lazimnya dibekalkan nota yang panjang yang menyentuh semua aspek tersebut. Jadi, amat mustahil untuk pelajar mengingat semula semua aspek Komsas yang dipelajari bagi kedua-dua genre novel peringkat SPM, di samping genre prosa moden, prosa tradisional, puisi moden dan puisi tradisional yang dimuatkan dalam antologi teks Komsas bagi tingkatan 4 dan 5.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Mei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *