Relevenkah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu?

Oleh Amirah Syazwani Baderol Sham

    Bahasa bukan sekadar penting sebagai sistem linguistik semata-mata tetapi juga penting sebagai sistem nilai. Bahasa Melayu yang telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan lebih 50 tahun di Malaysia juga mempunyai sistem nilainya yang tersendiri. Antaranya termasuklah sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu. Namun begitu, desakan arus globalisasi menyebabkan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tercabar dan diragui terutamanya dalam bidang sains dan teknologi serta matematik. Pelaksanaan pelajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada satu ketika dahulu merupakan antara contoh dasar yang meragui kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu. Pemansuhannya memberi petunjuk bahawa bahasa Melayu utuh sebagai bahasa Ilmu. Pemansuhannya memberi petunjuk bahawa bahasa Melayu utuh sebagai bahasa ilmu di Malaysia.

    Ketika pejuang bahasa kebangsaan menarik nafas lega, timbul pula Program Dwibahasa yang dilihat cuba mengembalikan semangat PPSMI yang telah hilang. DLP merupakan program pengukuhan bahasa Inggeris yang menawarkan pengajaran dan pembelajaran untuk beberapa subjek yang boleh diajar menggunakan sama ada bahasa Melayu atau Inggeris. Adakah program ini mungkin ada kaitannya dengan rancangan membawa masuk ribuan guru bahasa Inggeris dari India seperti dibayangkan oleh pihak kementerian berkenaan tidak lama dulu? Walau apa-apa pun sebab dan alasan yang diberikan, pelaksanaan DLP ibarat luka lama berdarah kembali kepada semua pihak yang memperjuangkan pemansuhan PPSMI pada satu ketika dahulu.

    Jika ditelusuri, bahasa Inggeris maju dalam bidang ilmu sama ada dalam sistem linguistik mahupun dalam peristilahan ilmunya bukanlah disebabkan bahasa tersebut memang sudah maju sejak azali lagi tetapi disebabkan wujudnya sekumpulan manusia yang digelar ahli fikir seperti Isaac Newton dalam kalangan bangsa mereka. Bahasa Melayu juga sebenarnya mampu memikul tugas sebagai bahasa ilmu jika semua pihak tidak meragui kemampuannya dan membantu perkembangannya menjadi bahasa ilmu. Bukankah pendekatan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di setiap peringkat pendidikan negara telah terbukti berjaya menghasilkan ribuan graduan yang berkualiti sehingga mampu melanjutkan pelajaran ke luar negara?

    Isu penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan mula hangat diperkatakan sejak PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003. Walhal menurut Profesor Datin Paduka Datuk Dr. Hajah Ramlah Adam dalam kajiannya bertajuk “Pendaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Ilmu di Malaysia: Sejarah dan Kedudukan Masa Kini”, isu ini mula timbul apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat pengumuman bahawa semua kuliah sains dan teknologi di universiti hendaklah disampaikan dalam bahasa Inggeris pada tahun 1993. Penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) mungkin kurang menjadi perdebatan seperti mana di sekolah disebabkan para pelajar IPT telah disaring pemilihannya berdasarkan kebolehan masing-masing berbanding para pelajar sekolah.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Mei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *