Pengajaran Band 2 Berfokuskan Lisan

      No Comments on Pengajaran Band 2 Berfokuskan Lisan

   Oleh Md Ishak A.Rahman

    Pengajaran bahasa pada tahap band 2 adalah yang paling kritikal terutama dalam kemahiran lisan. Pada tahap band 1, pembelajaran berlangsung di bawah bimbingan guru atau bantuan rakan sepenuhnya untuk mengetahui sesuatu. Pelajar meniru dan mengulang sebutan dan penulisan guru seperti menyalin jawapan contoh. Band 2 memerlukan pelajar menyatakan sendiri sebutan dan penulisan mudah yang diketahui dan difahami.

    Gangguan perasaan malu, tidak yakin diri, dan merasai kekurangan diri menyebabkan pelajar mengambil masa untuk menguasai tahap ini. Hal ini berlaku bukan sahaja dalam pembelajaran Bahasa Melayu, malah Bahasa Inggeris, terutama dalam kemahiran lisan. Dalam penulisan, masalah ini kurang ketara kerana pelajar mengambil masa untuk menulis jawapan. Justeru, kita sering mendapati pelajar boleh menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa tersebut tetapi tidak fasih bertutur.

    Band 2 memerlukan pelajar melaporkan atau menceritakan bahan yang didengar, dibaca, dilihat atau dilakukan kepada orang lain. Hal ini sewajarnya dikuasai oleh pelajar band 2 yang tahu dan faham secara minima dalam isu yang diperkatakan. Mereka sering melakukan salah sebutan kesan gangguan bahasa pertama atau dialek dan jawapan tidak tepat kerana kurang faham isu yang diperkatakan. Justeru, mereka seharusnya bersedia untuk menerima teguran daripada orang lain. Jika pelajar malu atau tidak yakin diri dan tidak bersedia menerima teguran, maka penguasaan band 2 dan band berikutnya akan terjejas.

    Sikap guru, rakan dan masyarakat yang tidak mesra akan menjejaskan keyakinan pelajar untuk mencuba. Keyakinan diri akan terganggu jika rakan mentertawakannya. Mereka memerlukan rakan yang membetulkan kesalahan secara spontan. Dalam aktiviti membaca dan penulisan, mereka boleh merujuk kamus jika ada perkataan yang tidak diketahui. Kelemahan diri kurang terdedah kepada rakan-rakan.

    Bagi mengurangkan masalah malu bertutur di khalayak, guru perlu membuat kumpulan kecil di dalam kelas dalam kalangan rakan-rakan. Mereka digalakkan bercakap sesama rakan dalam kumpulan. Selepas mereka mendapat keyakinan, baharulah diberi peluang untuk bercakap kepada rakan-rakan sekelas yang lebih besar bilangannya.

    Dalam panduan perkembangan pembelajaran tingkatan 1, pelajar tahap band 2 menguasai kemahiran berikut:

Jadual 1 Kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar di dalam kelas
Kemahiran Lisan – Mendengar, memahami dan menceritakan sesuatu perkara yang
didengar dengan betul.
Kemahiran Membaca – Membaca dan memberikan maksud perkataan yang terdapat dalam
petikan mengikut konteks dengan betul.
Kemahiran Menulis – Menjawab soalan pemahaman secara bertulis dengan betul.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Mei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *