Aura Bahasa Seniman Agung Negara

      No Comments on Aura Bahasa Seniman Agung Negara

   Oleh Atriah Azmi

    Pada November 2015, ikon seniman, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, diangkat sebagai Tokoh Warisan Negara, manakala Akademi Seni Budaya Kebangsaan (ASWARA) dianik taraf sebagai Universiti P. Ramlee. Tiada sesiapa yang membantah pengiktirafan tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana Tan Sri P. Ramlee sememangnya layak. Benar-benar layak kerana beliau ialah seniman yang tidak luntur dan pudar ditelan zaman. Meskipun sudah hampir 43 tahun beliau meninggalkan kita, namun beliau sentiasa “hidup” bersama-sama segenap ruang rakyat pelbagai kaum di negara ini. Auranya sentiasa ada dan dekat, serta melangkau dari satu generasi ke satu generasi tanpa pernah ada noktah.

    Sememangnya, seniman ini meninggalkan legasi seni yang tidak akan padam dan terus diperkatakan sampai bila-bila. Pujian terhadap karya Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar retorik, sebaliknya beliau ialah insan genius dalam bidang seni dan budaya kepada rakyat Malaysia. Sehingga kini, filemnya seperti Bujang Lapuk, Seniman Bujang Lapuk, Pendekar Bujang Lapuk, Labu Labi, Ibu Mertuaku, Do Re Mi, Anak Bapak, Tiga Abdul, dan banyak lagi masih terus bersiaran di televisyen. Hal yang demikian juga dengan ratusan judul lagu yang dicipta dan dinyanyikan oleh beliau.

    Bukan sahaja peminat dan penonton, malah pemerhati karya beliau turut merumuskan bahawa Tan Sri P. Ramlee ialah individu luar biasa yang menghasilkan karya yang luar biasa, seorang pemikir, pemerhati, dan lebih membanggakan ideanya melangkau zaman dan setiap karya yang dihasilkan penuh dengan mesej yang tersirat dan tersurat. Sepanjang hayatnya, Tan Sri P. Ramlee menghasilkan sebanyak 401 buah lagu dan 66 buah filem.

    Lagu pertama ciptaan beliau ialah Azizah yang dijadikan lagu latar filem Penarik Beca. Sebut sahaja lagu Azizah, penulis yakin tanpa mengira bangsa, agama, dan usia, jika tidak mampu menyanyikannya, sedikit banyak lirik lagu Azizah pasti bermain di bibir. Begitu juga dengan lagu Aci-aci Buka Pintu, Berkorban Apa Sahaja, Bila Mama Pakai Celana, Bunyi Gitar, Dengarlah Rayuanku, Dimanakan Kucari Ganti, Di Renjis-renjis Di Pilis, Getaran Jiwa, Hancur Bandan Kandung Tanah, Hilang Terang Timbul Gelap, Hujan di Tengah Hari, Jangan Tingal Daku, Jari-jariku Sakit Semua, Jeritan Bantinku, Juwitaku, Kenek-kenek Udang, Bila Larut Malam, Malam Bulan di Pagar Bintang, Malamku Bermimpi, Manusia Miskin Kaya, Menceceh Bujang Lapuk, Patah Tumbuh Hilang Berganti, Pesta Muda Mudi, Putus Sudah Kasih Sayang, Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, Sekapur Sireh Seulas Pinang, Selamat Hari Raya, Tiada Kata Secantik Bahasa, Tudung Periuk, dan Tunggu Sekejap, menjadi antara lagu malar segar sehingga kini.

    Jika diteliti daripada 401 lagu nyanyian dan ciptaan Tan Sri P. Ramlee, bukan sahaja diserikan dengan melodinya yang indah, malah lirik dan penggunaan bahasa yang indah dan puitis turut menjadi keutamaan Tan Sri P. Ramlee dalam menghasilkan karya. Insan seni ini amat menghormati bahasa Melayu dan yakin bahawa bahasa kebangsaan itu mampu melonjakkan karyanya merentas zaman, bangsa dan agama.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa edisi Mei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *