Wujudkah Perkataan “Cai”, “Macai”,”Pencacai”?

   Oleh Mohd Januri Aiyub

    Alam siber merupakan ruang yang terbuka luas untuk sesiapa sahaja meluahkan pandangan khususnya dalam beberapa laman sosial. Bermula daripada dialek, loghat, bahasa, pasar, bahasa puitis hinggalah bahasa yang standard, pelbagai bentuk bahasa ini bebas digunakan semahu-mahunya. Komunikasi alam maya dikawal oleh keintelektualan pengguna bahasa itu sendiri sama ada ingin menggunakannya secara santun atau sebaliknya. Dalam komunikasi laman sosial yang bercorak perdebatan atau polemik, antara perkataan “kurang santun” yang sering digunakan termasuklah “cai”, “macai” dan “pencacai”.

    Walaupun perkataan berkenaan dilihat popular, carian di mana-mana sumber pendokumentasian bahasa, perkataan itu hakikatnya tidak wujud. Agak aneh juga apabila melibatkan salah satu perkataan yang popular tetapi tidak tercatat dalam mana-mana kamus. Jadi, dari manakah pengguna laman sosial mendapat perkataan berkenaan? Meneliti beberapa buah filem Melayu era 60-an, perkataan “pencacai”, pernah digunakan oleh Seniman Agung P. Ramlee dalam filem Tiga Abdul lima dekad yang lalu. Diketahui umum bahawa filem-filem Seniman Agung memang popular dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum malah setiap patah dialog dalam filem arahan beliau sudah sebati dalam pemikiran masyarakat Malaysia. Berkemungkinan perkataan “pencacai” diambil daripada filem beliau dan daripada perkataan itu muncullah kata “cai” dan “macai” yang mungkin juga dianggap oleh pengguna laman sosial sebagai kata dasar bagi pencacai.

    Filem Tiga Abdul diterbitkan pada tahun 1964 dan dalam filem berkenaan, P. Ramlee memperkenalkan bapa mentuanya yang dilakonkan oleh Seniman Ahmad Nisfu kepada teman wanita tiruannya dengan gelaran “pencacai”. Tujuannya untuk menimbulkan kemarahan bapa mentuanya kerana dalam perjanjian antara mereka, sesiapa yang marah akan dijual. Oleh sebab tidak mahu dijual, bapa mentuanya menahan rasa marah dengan panggilan berkenaan. “Pencacai” dianggap satu penghinaan kerana perkataan itu merujuk pada satu pekerjaan sebagai pengangkat tong najis.

    Bagi generasi kini, “pencacai” sebagai satu kerjaya dalam konteks filem berkenaan mungkin sesuatu yang janggal. Namun begitu, dalam situasi zaman itu yang masih kedapatan masyarakat menggunakan cara pembuangan sisa manusia ke dalam tong yang disediakan, “pencacai” merupakan satu kerjaya biasa. Oleh sebab pekerjaan itu melibatkan najis secara fizikal, kerjaya itu dilihat “sedikit hina” dan tergolong sebagai pekerjaan kelas rendah. Malah dikatakan “pencacai” melakukan kerjanya pada waktu malam supaya tidak dilihat oleh orang lain.

    Hampir separuh abad kewujudan perkataan itu dalam masyarakat Melayu dan peluasan maknanya kini berkembang mengikut peredaran zaman. Perkataan “pencacai” menghiasi laman maya khususnya beberapa laman sosial yang bersifat polemik. “Pencacai” acap kali digunakan untuk merujuk mana-mana pihak yang menyokong sesuatu pihak lain, pemimpin atau sebarang pandangan yang ditafsirkan oleh pihak berkenaan sebagai sokongan atau komen secara membuta tuli. Dalam konteks ini, “pencacai” masih mengambil kira maksud konsep asalnya, iaitu suatu pekerjaan yang dianggap kelas rendah atau hina.

    Oleh itu, sokongan atau pandangan tanpa fakta yang sahih dan munasabah dianggap sebagai sokongan atau pandangan berkelas rendah dan hina. Bagi mereka, “pencacai” akan sentiasa mengiyakan tindakan, perilaku, pandangan mana-mana pihak yang disokongnya tanpa sebarang soal malah akan terus mempertahankan sokongan itu dengan mengesampingkan fakta-fakta sahih daripada pihak yang berautoriti.

Komentar ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran Mei

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *