Rosak Lagu Kerana Bahasa

      No Comments on Rosak Lagu Kerana Bahasa

    Rasa janggal dan sesekali “malu sendiri” silih berganti tatkala penulis melihat sekumpulan anak muda yang begitu asyik melayan perasaan dengan bait-bait lirik lagu bercampur aduk yang tidak tahu dari mana pokok pangkalnya. Mereka berasakan bahawa lirik lagu tersebut sudah cukup rencah dan perisanya. Lantas, hati kecilnya bertanya, setakat itu sahajakah penilaian dan cita rasa mereka terhadap lagu-lagu yang berkumandang di corong radio pada masa kini?

     Sering kali kita melihat bahasa rojak sentiasa menjadi pilihan untuk diketengahkan dalam penulisan akhbar, skrip filem, drama, novel, cerpen serta lirik lagu. Sejak kebelakangan ini, penulisan lirik lagu yang menggunakan bahasa rojak menjadi fenomena apabila dunia muzik berubah dengan pelbagai kemunculan arus muzik terkini. Suatu ketika dahulu, muzik arus perdana yang diwakili oleh artis dan pencipta lagu terkemuka, berlumba-lumba menghasilkan lirik lagu yang puitis sama ada lagu tersebut bertemakan cinta, ketuhanan atau tentang kehidupan.

    Walau bagaimanapun, dengan kemunculan artis “segera” melalui laman sosial seperti youtube seakan-akan memudarkan harapan pendengar untuk mendengar kembali lagu yang memiliki jiwa seperti era Allahyarham Tan Sri P. Ramlee hingga penghujung era 1990-an. Jika diperhatikan, bukan tiada langsung lagu-lagu yang dicipta menggunakan lirik yang indah dan puitis pada era milenium, namun jumlahnya tidak begitu banyak. Golongan ini cuba menongkah arus dengan menghasilkan lirik yang kononnya merupakan cita rasa baharu. Mereka mendakwa karya tersebut mampu menjadi alternatif terkini terhadap halwa telinga pendengar khususnya remaja yang lebih gemar akan nuansa muzik dan kata-kata yang ringkas dan bercampur aduk untuk menonjolkan imej antarabangsa.

    Penggiat seni sewajarnya memikirkan tanggungjawab sosial mereka kerana karya yang dihasilkan, terutamanya lirik lagu mampu mempengaruhi peradaban masyarakat khususnya golongan remaja. Walaupun isu bahasa rojak dalam lirik lagu dianggap isu picisan oleh sebilangan pihak, namun jika keadaan ini terus dibiarkan tanpa pengawasan ketat, hal ini boleh merosakkan bahasa kebangsaan, khususnya bahasa Melayu.

    Penggunaan bahasa rojak dalam lirik lagu melambangkan krisis jati diri pencipta lirik itu sendiri kerana bertindak merendahkan martabat bahasa kebangsaan, sekali gus menyebabkan mereka tidak mempunyai identiti yang tersendiri untuk menghasilkan karya. Oleh itu, penulis lirik disarankan agar sentiasa merujuk individu yang lebih arif tentang bahasa sebelum menghasilkan lirik lagu. Contohilah Seniman Agung Negara, Tan Sri P. Ramlee yang mampu menghasilkan karya malar segar tanpa mengorbankan seinci pun kedaulatan bahasa Melayu.

    Jika kita tidak mahu bahasa Melayu terus diperkotak-katikkan oleh bangsanya sendiri, pelbagai langkah proaktif seharusnya difikirkan oleh masyarakat untuk sama-sama memperjuangkan isu ini. Pada masa yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka juga tidak seharusnya dibiarkan bersendirian dalam usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Adakah fenomena menggunakan lirik berbahasa rojak ini berpunca daripada sikap dan pemikiran sebilangan rakyat Malaysia sendiri yang begitu terpengaruh dengan Barat dan berpendapat bahawa apa-apa yang datang dari Barat itu adalah yang terbaik?

Abd Kadir Mohd Ayub

Editor Pelita Bahasa edisi Mei 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *