Syair Harga Bahasaku

      No Comments on Syair Harga Bahasaku

Lafaz Bismillah syairku bermula

Harga bahasaku carilah formula

Nasibnya hari ini fikirlah semula

Bahasaku dicemari berjela-jela.

Bahasa sendiri perlu dijunjung

Agar bahasaku terus disanjung

Janganlah suka letak di hujung

Taman bahasa kena berkunjung.

Cuba lihat di papan peraga

Surat bank dan urus niaga

Bahasa Melayu tiada harga

Bahasa asing lebih dibangga.

Bahasa dihina sesuka hati

Cuba lihat cubalah perhati

Belut dan ular sama sebati

Suka dirancu rosaklah inti.

Bahasa Melayu lebih utama

Di bumi kita bahasa pertama

Sewajarnya ia indah bergema

Harapan harum selama-lama.

Nasibnya kini seakan samar

Apatah lagi mudah tercemar

Penutur jati pun tidak gemar

Sukar orang hendak melamar.

Pecinta bahasa terlilit kecewa

Bahasa sendiri tak suka dibawa

Sepatutnya bahasa wangi di jiwa

Indah di persada dipandang lawa.

Thailand dan Jepun baik diikuti

Bahasa mereka dipelihara teliti

Bahasa ibunda kita tidak seperti

Diperkotak-katikkan sesuka hati.

Puisi ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *