Fauna sebagai Perlambangan dalam Peribahasa Melayu

   WB-zuber (7) 1

   Jika berbicara tentang masyarakat Melayu tradisi, pastinya kita tidak ketinggalan untuk menyelami bahawa masyarakat yang mendiami tamadun Melayu itu juga ada tradisi sainsnya yang tersendiri. Bagi masyarakat Melayu alam ialah sumber yang boleh dimanipulasikan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

   Interaksi dengan alam bukan sekadar melahirkan pengalaman hidup tetapi juga melahirkan kiasan, misalan, analogi, perbilangan, perumpamaan, dan sebagainya untuk dijadikan panduan hidup. Seluruh khazanah falsafah ini lahir daripada sensitiviti dan ketajaman pengamatan orang Melayu terhadap alam sekeliling. Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa pengetahuan sains peribumi Melayu itu sebenarnya bertitik tolak daripada sumber alam. Inilah salah satu keunikan dan keistimewaan bangsa Melayu yang diterjemahkan dalam seni berbahasa yang melankolik sifatnya.

   Masyarakat Melayu pada zaman dahulu sering terdedah pada persekitaran yang dikelilingi oleh hutan rimba, kebun dan ladang, sungai dan laut menyebabkan mereka sering bertemu dengan pelbagai unsur alam khususnya fauna. Kehidupan mereka yang terdedah pada persekitaran tersebut menyebabkan mereka sering bertemu dengan spesies haiwan ini. Oleh itu, mereka dengan sendirinya mengenali sifat binatang tersebut secara mendalam. Perkongsian hidup mereka dengan haiwan-haiwan ini membuatkan tempiasnya itu dijelmakan dalam peribahasa Melayu hasil ciptaan mereka. Antara haiwan yang sering menjadi tumpuan mereka sehingga sering kali disebut dalam peribahasa Melayu termasuklah harimau, gajah, kera, anjing, kambing, kerbau, ayam, rusa, kancil, singa, cacing, kura-kura, dan sebagainya. Secara ringkasnya, peribahasa mempunyai dua peranan penting dalam kehidupan manusia. Pertamanya, berperanan sebagai saluran yang memaparkan pelbagai realiti dalam kehidupan masyarakat pengguna peribahasa itu dan keduanya, peribahasa tersebut mempunyai nilai yang boleh dijadikan pedoman hidup baik antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam sekitar, dan manusia dengan penciptanya.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *