Kuasa Bahasa dalam Penulisan Karangan

      No Comments on Kuasa Bahasa dalam Penulisan Karangan

   kuasa bahasa

   Sebuah karangan yang berkualiti seharusnya memiliki kelebihan dari segi isi dan bahasanya. Dalam hal ini, bahasa yang terdapat dalam karangan yang bermutu haruslah memperlihatkan unsur kohesi, bebas daripada kesalahan bahasa dan menarik apabila dibaca.

   Apakah ciri-ciri bahasa yang menarik? Hal demikian dapat kita kaji dari segi penggunaan kosa kata, bentuk ayat dan gaya bahasa. Dari segi kosa kata, karangan yang bermutu biasanya mempunyai kosa kata yang luas dan pelbagai. Kosa katayang luas bererti perkataan yang digunakan dapat mengungkapkan sesuatu perkara secara tepat dan khusus. Sila lihat contoh ayat berikut:

1. Petani mendapat bantuan daripada kerajaan.

2. Pesalah itu akan dikenakan hukuman.

3. Pengkaji itu memperoleh maklumat daripada orang ramai.

4. Ikan yang dibeli oleh emak sangat segar.

5. Hutan di kawasan itu sudah diteroka.

6. Fatimah memasak daging.

   Ayat 1 hingga 6 di atas tidak salah. Namun begitu, ada baiknya jika kata umum yang digunakan diganti atau disusuli dengan kata khusus. Contohnya, kata bantuan boleh diganti atau diperjelas dengan frasa seperti bantuan modal atau khidmat nasihat. Kata hukuman dalam ayat 2 boleh diperincikan menjadi hukuman denda, khidmat sosial, sebatan, penjara atau hukuman gantung sampai mati. Bagi ayat 3, cara pengkaji memperoleh maklumat boleh dinyatakan dengan lebih jelas, seperti melaluisoal selidik, temu bual, bancian, tinjauan, dan sebagainya.

   Bagi ayat 4 pula, kita boleh menyatakan jenis ikan yang dibeli, iaitu sama ada ikan bawal, tenggiri, senangin, kurau, atau yang seumpamanya. Kata hutan dalam ayat 5 juga boleh kita jelaskan jenisnya. Contohnya adalah seperti hutan dara, hutan belukar, hutan simpanan, hutan paya, dan sebagainya. Kata memasak dalam ayat 6 pula boleh kita ganti dengan kata seperti menggoreng, menggulai dan sebagainya.Kosa kata yang pelbagai bererti kepelbagaian dalam hal penggunaan kata. Contohnya, kata mencapai dalam frasa mencapai kejayaan boleh kita tukar dengan kata seperti menempa, mencipta, mengukir, menggapai, meraih atau merangkul. Kata menjalin dalam frasa menjalin hubungan boleh kita ganti dengan kata seperti mengikat, mengeratkan, atau merapatkan.

   Tujuan kita mempelbagaikan kosa kata adalah untuk mengelakkan pengulangan kata yang sama. Sebagai contoh, frasa dapat mendapat boleh kita ganti dengan frasa “boleh mendapat” atau “dapat memperoleh” supaya bentuknya lebih menarik.

   Kosa kata yang digunakan harus sesuai dengan keadaan semasa. Contohnya kata lama seperti mustaid harus kita ganti dengan kata seperti “siap” atau “selesai”. Selain itu, penggunaan kata atau istilah sezaman akan menjadikan karangan kita lebih menarik. Contohnya adalah seperti “isu pemanasan global”, “kesan rumah hijau”, “pendemokrasian pendidikan”, “minda kelas pertama”, “berfikirdi luar kotak”, “anjakan paradigma”, “bahan terbiodegradasi”, “masyarakat kontemporari”, “kota metropolitan”, “dasar agropolitan” dan sebagainya.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *