Borang Grafik untuk Rumusan Karangan Bahasa Melayu SPM

   grafik1

   Dalam sesi pembelajaran, guru kerap berhadapan dengan pelajar yang berbeza dari segi kebolehan mereka. Oleh itu, situasi tersebut memerlukan kepakaran guru dalam menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini menunjukkan bahawa guru boleh menentukan pendekatan, memilih kaedah dan menetapkan teknik yang tertentu yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan pelajar. Strategi yang dipilih itu, selain berpotensi merangsang secara aktif juga harusnya mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik perhatian pelajar, serta dapat menghasilkan pembelajaran yang lebih bermakna. Paling utama ialah dapat membantu para pelajar yang lemah dalam sesuatu subjek untuk memahami keseluruhan isi pelajaran.

   Bagi menarik perhatian pelajar dalam sesuatu pengajaran, aktiviti yang dipilih oleh guru hendaklah menarik dan mempunyai potensi yang tinggi untuk membolehkan isi pelajaran dan konsep yang diterjemahkan secara jelas. Aktiviti yang dijalankan seharusnya mampu mempengaruhi intelek, emosi dan minat pelajar secara berkesan. Dalam merancang persediaan mengajar, aktiviti yang dipilih perlu mempunyai urutan yang baik. Aktiviti pembelajaran juga perlu diselaraskan dengan isi kemahiran dan objektif pengajaran. Lazimnya aktiviti yang dipilih itu merupakan gerak kerja yang mampu memberikan sepenuh pengaruh terhadap perhatian, berupaya meningkatkan kesan terhadap intelek, ingatan, emosi, minat dan kecenderungan, serta mampu membantu guru untuk menjelaskan pengajarannya.

   Dalam merancang aktiviti pengajaran yang berkesan dan bermakna kepada para pelajar, guru harus memikirkan teknik yang akan digunakan. Pemilihan strategi secara bijaksana mampu menjamin kelicinan serta keberkesanan penyampaian sesuatu subjek atau modul. Antara teknik atau kaedah yang boleh digunakan oleh guru termasuklah penggunaan borang pengurusan grafik. Apabila guru menggunakan kaedah iniuntuk proses pengajaran dan pembelajaran secara tidak langsung akan meningkatkan kemahiran pelajar yang berada dalam kategori cemerlang, memberikan pemahaman yang jelas kepada pelajar dalam kategori sederhana dan memudahkan pelajar dalam kategori lemah semasa proses pangajaran dan pembelajaran.

   Dalam suasana pengajaran dan pembelajaran, kemahiran bermaksud seseorang itu terlatih dan mempunyai pengalaman yang tinggi, serta mendalam. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran kebolehan menguasai kemahiran tertentu perlu ditegaskan oleh guru, terutama kemahiran asas seperti menyelesaikan masalah, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif,kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Apabila pelajar menguasai kemahiran asas, secara tidak langsung akan dapat membantu pelajar tersebut menguasai dengan lebih mudah.

Rencana in dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *