Pemetaan Novel Mengikut Bab

      No Comments on Pemetaan Novel Mengikut Bab

Novel SPM2

   Kajian terhadap novel merupakan salah satu genre sastera yang turut dipelajari dalam Komsas peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, malah diuji dalam peperiksaan SPM dengan jumlah markah keseluruhan sebanyak 15 markah daripada dua bahagian soalan. Tugas pelajar menjadi lebih mencabar apabila pelajar dikehendaki membandingkan aspek Komsas berdasarkan kedua-dua buah novel yang dipelajari mengikut zon masing-masing. Hal ini menjadikan beban pembelajaran semakin bertambah kerana pelajar terpaksa mengingat segala fakta dan pelbagai peristiwa yang berkaitan dengan aspek Komsas berdasarkan novel tersebut. Oleh itu, tumpuan perbincangan dalam makalah bulan ini berfokus pada bentuk pemetaan yang dapat diaplikasikan dalam kajian novel Di Sebalik Dinara dan Silir Daksina sebagai asas perbincangan tentang kaedah tersebut bagi membantu para guru untuk menggalakkan murid-murid membaca dan menguasai novel-novel yang mereka pelajari secara lebih berkesan. Kedua-dua novel tersebut diguna pakai di negeri Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

   Selain itu, masalah lain yang menghantui para guru adalah apabila terdapat pelajar-pelajar yang tidak berminat atau tidak mahu membaca novel yang ditetapkan mengikut zon masing-masing. Secara kebetulan, berdasarkan tinjauan rambang yang sering penulis lakukan semasa program jerayawara bahasa di seluruh negara jelas menunjukkan masih banyak lagi pelajar yang mengambil masa berbulan-bulan untuk membaca novel yang mereka pelajari. Lebih mendukacitakan lagi apabila ada pelajar hanya sekadar membaca sinopsis daripada buku-buku ulasan yang terdapat di pasaran. Sebenarnya banyak cara yang dapat membantu pelajar mengingat kembali keseluruhan cerita yang terdapat dalam novel yang mereka pelajari. Membuat sinopsis sama ada mengikut bab atau sinopsis secara keseluruhan juga salah satu kaedah untuk mengingat kembali cerita yang terdapat dalam novel yang dibaca. Walau bagaimanapun, sinopsis hanya sekadar ringkasan cerita dan tidak mempunyai maklumat yang lengkap tentang Komsas khususnya yang melibatkan semua aspek sastera dan bukan sastera. Aspek sastera yang dimaksudkan meliputi tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot (binaan dan teknik plot), latar (masa, tempat, dan masyarakat), serta gaya bahasa, manakala aspek bukan sastera pula terdiri daripada nilai dan pengajaran.

Rencana ini dipetik Pelita Bahasa keluaran April.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *