Open House, Reunion dan Homestay

      No Comments on Open House, Reunion dan Homestay

Open house Tahan Baharu Cina

Open house Tahun Baharu Cina

   Dunia globalisasi pada dekad ini telah menyaksikan istilah dalam bahasa Inggeris menjadi begitu popular dan mula meniti di hujung lidah setiap lapisan masyarakat khususnya dalam kalangan generasi baharu yang terdedah dengan segala maklumat yang dibawa dari barat. Antara istilah yang sering diguna pakai dalam perhubungan lisan mahupun persuratan termasuklah open house, reunion dan homestay.

   Open house merupakan istilah yang cukup popular pada alaf ini khususnya saat musim perayaan seperti sambutan Aidilfitri atau Tahun Baharu Cina. Apakah open house menerangkan konotasi awal tentang pintu rumah yang terbuka bagi membolehkan tetamu luar masuk ke rumah atau kediaman kita? Sebenarnya ungkapan ini mempunyai pengertian yang jauh lebih daripada itu.

   Open house ialah kata majmuk yang merujuk kepada hari keraian di sesebuah rumah kediaman dengan aktiviti jamuan untuk para tetamu yang bertandang. Dalam lidah orang Melayu, aktiviti ini disebut dengan panggilan “rumah terbuka”. Berbeza dengan istilah kenduri-kendara yang disambut kerana meraikan upacara keagamaan atau budaya setempat seperti perkahwinan, sambut menantu, doa selamat, berkhatan dan sebagainya. “Rumah terbuka” lebih berkait dengan majlis makan-makan yang tidak terikat dengan upacara atau protokol tertentu.

   Di Indonesia, istilah yang biasanya digunakan untuk “rumah terbuka” ialah “anjung silaturahim”. Anjung merupakan ruang serambi rumah orang Melayu yang disediakan khususnya untuk meraikan tetamu yang datang, manakala silaturahim pula dibentuk daripada dua kata. iaitu silah dan rahim. Silah bermaksud hubungan sedangkan rahim dipetik daripada kata asal rahmah, iaitu kasih sayang. Makna rahim yang lebih tepat ialah kaum kerabat. Dengan kata lain ialah hubungan kekerabatan atau hubungan kekeluargaan antara satu sama lain. Oleh itu, bagi pencinta bahasa, anjung silaturahim merupakan istilah yang dianggap paling sesuai untuk digantikan dengan perkataan open house. Di Malaysia, open house masih disebut dengan panggilan “rumah terbuka”.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *