Laras Bahasa

      No Comments on Laras Bahasa

   Laras merupakan satu kajian yang memberikan fokus kepada penggunaan bahasa dalam konteks yang sebenar. Istilah laras mula dipopularkan oleh Reid pada tahun 1956, dan maksud laras tergambar dalam pernyataan beliau, “For the linguistic behaviour of a given individual is by no means uniform; placed in what appear to be linguistically identical conditions, he will on different occasions speak (or write) differently, according to what may roughly be described as different social situation: he will use a number of distinct register…” Kajian berkaitan laras telah dibuat seawal tahun 1935, iaitu oleh Straumann yang mengkaji bahasa yang digunakan dalam akhbar, manakala Leech pada tahun 1964 mengkaji laras iklan bahasa Inggeris dengan menggunakan pendekatan analisis linguistik dan tumpuan penelitian beliau adalah pada klausa, kosa kata dan aspek kohesi. Savory (1967) pula membuat kajian tentang penggunaan bahasa dalam bidang sains.

   Di negara ini, terdapat banyak juga penelitian tentang laras telah dibuat, antaranya oleh Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hajah Asmah Hj Omar, iaitu Laras Ilmiah (1981), Laras Surat Rasmi (1983), Laras Bahasa dalam Borang (1985), Laras Bahasa Istana (1985), dan Laras laporan (1988), Beliau menggunakan pendekatan linguistik dengan tumpuan kepada aspek kata, frasa, modus dan kohesi. Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim pula,membuat kajian tentang laras iklan bahasa Melayu (1982), dan pada tahun 1989 membuat kajian laras bahasa Melayu moden dengan menggunakan pendekatan Leech & Short. Tumpuan penelitian adalah kepada aspek kata, tatabahasa, keindahan bahasa, latar dan ketenunan atau kohesi. Tegasnya, kajian tentang laras mendapat perhatian ahli-ahli bahasa.

   Berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh ahli laras bahasa tentang laras, dapat disimpulkan bahawa laras ialah satu kajian yang termasuk dalam bidang sosiolinguistik, dan laras merujuk kepada variasi bahasa yang wujud berdasarkan penggunaan bahasa dalam konteks atau situasi sosial yang tertentu, misalnya dalam perbincangan tentang sains, agama, ekonomi dan sebagainya. Hal ini sesuai dengan pendapat Reid (1956), yang mengatakan bahawa laras (register) merupakan satu istilah teknikal yang digunakan untuk menerangkan perlakuan bahasa semasa seseorang itu menggunakan bahasa. Seseorang itu akan menggunakan perlakuan bahasa yang sama dalam situasi linguistik yang sama, tetapi dalam situasi pertuturan atau penulisan yang berlainan, dia akan menunjukkan perlakuan bahasa yang berbeza; bergantung pada situasi sosial yang dihadapinya.

Rencana ini dipetik dari Pelita Bahasa keluaran April.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *