Kepentingan Dasar MBMMBI kepada Negara

Oleh TEO KOK SEONG

Dasar MBMMBI yang menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) – yang rata-ratanya didapati banyak bermasalah sejak dilancarkan pada tahun 2003 – bukan sahaja prinsip pendidikan yang bestari, tetapi pelan tindakan untuk menjamin pelestarian warisan linguistik bahasa Melayu. Hal itu dikatakan demikian kerana dasar tersebut, yang bermula pada tahun ini, akan memastikan generasi muda Malaysia cekap dalam penggunaan bahasa Inggeris – bahasa antarabangsa terpenting pada masa ini – melalui pendekatan yang lebih berwaspada tentang imperialisme bahasa Inggeris yang, kalau tidak diselenggarakan dengan baiknya, akan menyebabkan peminggiran bahasa Melayu di tanah watannya sendiri. Walau bagaimanapun, perkara yang lebih penting tentang dasar tersebut ialah generasi muda kita akan terus menyokong dan menghayati peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Oleh itu, dasar tersebut akan memastikan aspek budaya pada ekologi linguistik negara yang ikut diwarnai bahasa Inggeris, khususnya yang berkenaan dengan jati diri budaya negara Malaysia, akan terus dilindungi dalam era globalisasi, yang sudah memperlihatkan peminggiran banyak bahasa, lebih-lebih lagi yang kecil dan tidak terkecuali juga beberapa bahasa besar, oleh bahasa antarabangsa itu.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Januari 2012.

One thought on “Kepentingan Dasar MBMMBI kepada Negara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *