Nilai “Kejujuran”…

      No Comments on Nilai “Kejujuran”…

   Penulis terpanggil untuk “membongkar” siapakah sebenarnya kelompok ini? Mengapakah mereka tidak mahu menonjolkan diri di khalayak, sedangkan ada dalam kalangan mereka mempunyai kualiti yang tersendiri?

   Berdasarkan pengamatan penulis, budaya indie tidak terhad pada satu-satu bidang sahaja. Hal ini dikatakan demikian kerana budaya ini turut merangkumi aspek seni filem, penulisan, feksyen, muzik, tabiat serta kepercayaan. Dengan kata lain, budaya indie merupakan cara hidup yang “melencong” daripada aliran utama atau lebih dikenali sebagai arus perdana. Mereka yang terlibat lebih gemar mengikut kehendak hati sendiri tanpa terikat dengan arahan mahupun perintah daripad mana-mana pihak.

   Jika diperhatikan, mereka memiliki kelompok yang tersendiri. Kebanyakan pengikut budaya indie ingin mengamalkan pendekatan seni yang bebas. Sejak kemunculannya pada awal 1980-an, semakin banyak remaja yang tertarik dengan budaya dan kepercayaan indie. Sebagai contoh, sesetengah muzik indie enggan menyertai syarikat rakaman ternama walaupun mereka diberikan peluang keemasan tersebut. Bagi golongan indie, sekiranya merenya mereka beralih ke syarikat rakaman yang mengagungkan muzik arus perdana, mungkin kreativiti mereka sebagai pemuzik indie yang bebas melakukan apa-apa sahaja bakal terjejas.

   Di samping itu, apabila kita meneliti karya yang diterbitkan oleh penerbit indie pula, persoalan utama yang bermain di minda ialah perihal mempertahankan martabat bahasa dalam penghasilan karya mereka. Sesetengah penerbit indie pula, terutama pihak yang menerbitkan buku atau novel, segelintir mereka lebih rela menongkah arus daripada menyemai rasa cintaterhadap bahasa kebangsaan. Dalam karya tertentu, mereka langsung tidak mementingkan nilai murni yang menjadi pengangan bangsa selama ini. Walaupun ada antara mereka masih bersikap rasional, namun yang mewakili golongan minoriti ini sangat membimbangkan.

   Memang tidak dinafikan sebahagian daripada mereka berjiwa besar kerana mampu membincangkan isu kritikal yang sentiasa berlaku di sekeliling kita, tetapi mereka juga seharusnya sedar bahawa golongan yang paling teruja untuk mendapatkan karya sedemikian sudah tentulah golongan remaja dan belia. Apabila berkarya, mereka menyasarkan golongan remaja untuk menyampaikan mesej tersirat. Akibat terlalu “jujur” dalam menghasilkan karya, mereka mengorbankan aspek tatasusila dengan membentuk budaya yang sentiasa memberontak.

  Sesungguhnya, industri perbukuan negara sangat mengalu-alukan kemunculan penerbit daripada latar belakang. Masyarakat tidak pernah sesekali meminggirkan bakat dan keupayaan yang ada pada mereka kerana kemunculan penerbit indie ke dalam industri penerbitan negara. Mereka memiliki kualiti dan aura yang tersendiri. Cuma, perkara yang kita mahukan daripada mereka ialah aspek kesantunan berbahasa dalam karya mereka jika merekamahukan karya tersebut menjadi karya alternatif yang dihormati. Kehadiran mereka sangat dialu-alukan untuk menyuburkan lagi industri penerbitan buku negara dengan menyumbang karya luar biasa yang mampu melonjakkan lagi nilai kesopanan dan kesusilaan yang menajdi asas kepada pembentukan negara bangsa

Rencana diambil dari Pelita Bahasa keluaran April

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *