Lidah Bangsa dalam Sains dan Matematik

      No Comments on Lidah Bangsa dalam Sains dan Matematik
Bahasa Melayu merupakan bahasa ilmu. Pemartabatan bahasa itu sebagai bahasa persekolahan berlaku dalam proses yang penuh liku. Bahasa Melayu menjadi satu daripada aspek penting dalam perjuangan kemerdekaan tanah air daripada pentadbiran penjajah. Dalam pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955, parti Perikatan, yang terdiri daripada tiga parti politik yang mewakili tiga kaum terbesar, iaitu UMNO, MCA dan MIC, dalam manifesto pilihan rayanya, telah berjanji untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Kegemilangan bahasa Melayu bermula pada abad ke-15 semasa zaman kesultanan Melayu Melaka apabila bahasa itu menjadi lingua franca di Nusantara. Segala urusan perdagangan dan surat-menyurat rasmi dilakukan dalam bahasa itu. Sejarah nasionalisme negara pula berjaya meletakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan dalam perlembagaan negara. Penyata Razak 1956, Penyata Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996 menjelaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa ilmu.
Pada tahun 1990, konsep pendidikan bestari dilancarkan yang cuba memberikan nafas baharu kepada bahasa Melayu. Konsep tersebut memberikan ruang yang luas kepada bahasa Melayu kerana bahasa itu telah dijadikan sebagai bahasa pengantar utama dalam semua mata pelajaran, termasuk ilmu yang berasaskan sains dan teknologi. Bahasa Melayu diwajibkan menjadi bahasa merentas kurikulum untuk semua mata pelajaran di sekolah kebangsaan, baik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Idea itu turut dikembangkan ke institusi pengajian tinggi awam tempatan.

___

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Januari 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *