Penerimaan Aplikasi Bahasa Melayu dalam TMK

      No Comments on Penerimaan Aplikasi Bahasa Melayu dalam TMK

Oleh Waris Pendeta

Penggunaan bahasa yang bercampur aduk semakin ketara dalam aplikasi teknologi baharu

Penggunaan bahasa yang bercampur aduk semakin ketara dalam aplikasi teknologi baharu.

   Rakyat Malaysia dan kebanyakan pengkaji bahasa tentu maklum bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, malah dikatakan bahasa perpaduan rakyat negara ini. Status tersebut mewajarkan semua rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu dengan baik untuk komunikasi. Meskipun begitu, pencinta bahasa Melayu agak terkilan apabila terdapat anak muda yang berstatus warganegara tidak dapat menggunakan bahasa kebangsaan. Lebih mengecewakan, apabila terdapat individu yang mendakwa ataupun memikirkan bahawa diri mereka semacam ditimpa “bencana” andai kata bahasa Melayu dijadikan medium untuk berbicara.

   Peredaran masa dan tahap pemikiran manusia turut merobah pelbagai perkara, tidak terkecuali tentang soal bahasa. Kemajuan teknologi ternyata menjadi pemangkin pelbagai peralatan moden dicipta, termasuklah pelbagai alat komunikasi canggih yang ada. Kini, komputer dan telefon bimbit pelbagai jenama mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja sama ada orang dewasa, apatah lagi golongan muda. Kemajuan tersebut membolehkan anggota masyarakat di mana-mana sahaja mengenali dan menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas atau nama popularnya sms. Kewujudan facebook, WhatsApp, Telegram, WeChat, Instagram dan lain-lain adalah antara bukti kemajuan teknologi dari semasa ke semasa. Kewujudan internet pula membolehkan banyak urusan dijalankan secara atas talian yang secara umumnya mendatangkan kebaikan kepada semua.

   Oleh sebab internet wujud dalam persekitaran bahasa Inggeris maka bahasa itulah yang menguasai teknologi tersebut. Bahasa Inggeris telah digunakan sebagai bahasa utama dalam teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) atau ICT. Walaupun singkatan kata dalam bahasa Melayunya ada, iaitu TMK, singkatan dalam bahasa Inggeris ICT yang “dimuliakan”. Situasi ini secara tidak langsung menuntut pengguna TMK di seluruh pelosok dunia agar mengetahui bahasa Inggeris, seiring dengan perkembangan teknologi dalam era globalisasi.

   Pertambahan pengguna bahasa Inggeris ekoran kemajuan TMK dikatakan oleh sesetengah pihak sebagai penjajahan bentuk baharu; penjajahan pemikiran, bukan penjajahan kawasan. Bagi penulis, tanggapan sedemikian adalah kurang wajar kerana bahasa itu perlu dipelajari untuk memudahkan teknologi digunakan, bukan suatu perancangan pihak tertentu untuk penjajahan. Dengan perkataan lain, perkembangan TMK memungkinkan lebih ramai individu memahami bahasa Inggeris. Namun begitu, malang sekali apabila ada pihak yang semacam ingin meminggirkan bahasa Melayu kerana ingin memberikan tumpuan kepada bahasa Inggeris. Kesilapan inilah yang menjadi punca para pejuang dan pencinta bahasa Melayu tidak berpuas hati.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Februari 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *