Soalan Rumusan dan Pemahaman SPM. Teknik yang Mudah dan Berkesan.

   Oleh Samat Buang

    Soalan rumusan dalam kertas Bahasa Melayu 2 (1103/2) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lazimnya merupakan soalan paling popular saban tahun. Soalan nombor satu kertas tersebut berdasarkan petikan umum yang dipetik dan diubahsuaikan daripada petikan rencana yang tersiar dalam majalah atau akhbar tempatan. Namun begitu, sejak tahun 2006 kekerapan soalan rumusan dipilih berdasarkan petikan yang dipetik daripada majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka termasuk Dewan Siswa, Dewan Kosmik, Dewan Ekonomi dan Pelita Bahasa.

   Fokus perbincangan dalam makalah kali ini tertumpu pada teknik menjawab soalan rumusan dan soalan pemahaman berdasarkan petikan umum. Hal ini dikatakan demikian kerana berdasarkan pengalaman, penulis didapati amat sukar untuk pelajar menguasai teknik menjawab soalan tersebut.

   Soalan 1 ini memperuntukkan sebanyak 30 markah, manakala 9 markah lagi khusus untuk tiga soalan pemahaman yang dikemukakan dalam soalan 2 bersama-sama petikan pemahaman KOMSAS yang terdiri daripada petikan cerpen atau drama, petikan prosa klasik, puisi moden atau tradisional.

   Pada keseluruhannya, terdapat empat elemen utama ketika menulis rumusan yang lengkap. Elemen yang dimaksudkan terdiri daripada pendahuluan, isi tersurat, isi tersirat, dan kesimpulan. Sepertiyang calon SPM sedia maklum, bahawa jumlah isi keseluruhan bagi setiap rumusan ialah 10 isi yang terdiri daripada 1 isi untuk pendahuluan, 6 isi untuk isi tersurat, 2 isi untuk isi tersirat, dan 1 isi untuk kesimpulan. Setiap isi membawa 2 markah menjadikan jumlah markah isi sebanyak 20 markah dan ditambah lagi dengan markah bahasa sebanyak 10 markah, iaitu separuh daripada markah isi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 markah.

   Bagi memudahkan perbincangan, petikan rencana umum menggunakan laras bahasa sains yang disiarkan di dalam majalah Dewan Kosmik, Mei 2013, bertajuk “Air Semakin Kurang”, oleh Haliza Abdul Rahman, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dirujuk dan diuji dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2015.

TEKNIK MENULIS RUMUSAN

   Setiap rumusan dimulakan dengan elemen pertama, iaitu bahagian pendahuluan yang membawa sebanyak 2 markah. Ada tiga cara penulisan yang boleh diguna pakai untuk menulis pendahuluan bagi soalan rumusan ini. Pertama, bahagian pendahuluan hendaklah dimulakan dengan frasa “Petikan membincangkan….” dan diikuti dengan perkataan yang seerti dengan tugasan soalan selepas perkataan “tentang” pada bahagian arahan soalan dan ditambah dengan frasa yang sesuai, sekali gus dapat menggambarkan tema keseluruhan petikan yang diuji. Misalnya, soalan 1 SPM 2015, tugasan soalannya menyentuh tentang “punca-punca berkurangnya bekalan air bersih”. Oleh itu, calon hendaklah memulakan dengan ayat “Petikan membincangkan faktor-faktor atau sebab-sebab berkurangnya bekalan air bersih dan ditambah dengan frasa “di negara kita atau Malaysia”. Klu untuk menambah frasa “di Malaysia” terdapat dalam petikan tersebut. Antaranya dalam perenggan pertama yang berbunyi, “Air diperoleh secara semula jadi daripada pelbagai sumber dan sungai merupakan sumber air yang utama di negara ini. Negara kita mempunyai lebih daripada 150 batang sungai yang menjadi sumber air mentah utama…” Jadi, pendahuluan yang lengkap cara pertama ialah “Petikan membincangkan sebab-sebab atau faktor-faktor berkurangnya bekalan air bersih di negara kita.” Jawapan seperti ini yang diharapkan daripada calon kerana pendahuluan rumusan cara ini dapat menggambarkan keseluruhan isi dalam petikan rumusan yang diberikan. Aspek kematangan jawapan calon lebih terserlah.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Mac

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *