Memahami Peraturan Bahasa

      No Comments on Memahami Peraturan Bahasa

pBJudul Buku     : Teori Asas Nahu

Penulis             : Asmah Haji Omar

Penerbit           : Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga               : RM35.00

Tahun Terbit  : 2015

Pengulas          : Shakila Zuleika Abd. Ghani

 

 

   Kita biasa mendengar perkataan “teori” digunakan dalam perbualan biasa antara sahabat atau perdebatan am yang bukan bersifat akademik. Pengertian perkataan “teori” dikaitkan dengan idea am yang ada dalam minda seseorang untuk menerangkan sesuatu kejadian atau fenomenon. Boleh jadi idea ini suatu cara seseorang itu menyelesaikan sesuatu masalah yang sedang diperkatakan.

   Dalam bidang ilmu, teori didefinisikan sebagai idea atau seperangkat idea yang sudah diuji berdasarkan kajian yang mendalam mengenai sesuatu kejadian. Dalam aplikasinya, sesuatu teori dalam sesuatu bidang ilmu bersifat universal, tidak terbatas kepada golongan atau kawasan geografi, sosial atau etnik tertentu.

   Perbahasan tentang definisi teori turut dihasilkan oleh pakar bahasa, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar menerusi buku terbaharunya iaitu Teori Asas Nahu yang mengandungi sembilan bab yang berkaitan dengan nahu dan bahasa. Menurutnya dalam bab pertama, berkaitan dengan “Teori, Hipotesis, Kaedah” terdapat huraian yang jelas daripada pelbagai pakar linguistik. Dalam bidang linguistik yang dibawa oleh Ferdinand de Saussure, terdapat teori lambang, iaitu bahasa dan unsurnya merupakan lambang yang terdiri daripada signifie (gambaran abstrak) dan signifiant (imej bunyi) yang mewujudkan gambaran abstrak dalam fikiran penutur bahasa.

   Misalnya, jika seseorang itu melihat sekuntum bunga, maka gambaran bunga terlekat dalam mindanya dan dia memberi imej bunyi kepada konsep itu dengan perkataan “bunga”(jika penutur itu orang Melayu).

    Dalam memperkatakan hubungan hipotesis dengan teori, pakar linguistik Amerika, Emmon Bach, meletakkan hipotesis sebagai asas teori. Hipotesis yang baik mempunyai ciri yang tepat dan jelas, supaya deduksi atau kesimpulan tentang apa-apa yang berlaku dapat diramalkan daripada penjelasan yang dibuat itu berdasarkan hipotesis dan pemerhatian.

    Ilmu linguistik “kata” juga mencakup cara memperoleh data dan cara menganalisis data. Dalam kajian linguistik dan bidang sains sosial terdapat istilah metodologi yang menimbulkan kekeliruan dengan method bagi pengkaji terutama bagi penyelidik yang ingin mencapai ijazah Sarjana (PhD). Dalam metodologi, terdapat pelbagai kaedah untuk memperoleh data, bergantung pada ilmu pengetahuan tertentu seperti kaedah penyelidikan lapangan, kaedah penyelidikan teks dan kaedah eksperimen.

    Begitu juga dalam menganalisis nahu, seseorang pengkaji itu boleh menggunakan kaedah induktif atau deduktif. Dalam menganalisis data nahu, pengkaji perlu menetapkan teori yang hendak digunakan dalam analisisnya. Bahkan dalam sesuatu teori itu ada pilihan kaedah menganalisis data berdasarkan matlamat kajian.

    Sesuatu teori itu digubal berdasarkan bidang ilmu tertentu dan diterapkan dalam analisis data bagi ilmu berkenaan. Jika teori linguistik digunakan termasuklah teori yang merangkumi semua aspek bahasa, iaitu fonologi, nahu dan semantik. Pengkaji yang meneliti aspek fonologi sesuatu bahasa menerapkan teori yang khusus menjelaskan dan memberi kefahaman tentang aspek bunyi bahasa yang berkenaan, iaitu teori fonologi. Jika tumpuan kepada bidang nahu, maka teori yang digunakan termasuklah teori morfologi dan teori sintaksis.

    Nahu dianggap asas dalam menyampaikan dan menerima mesej dalam sesuatu komunikasi antara dua orang makhluk manusia, maka komunikasi antara haiwan juga mempunyai nahu, khususnya sintaksis. Nahu menjadi komponen penting dalam bahasa. Komponen lain yang menjadi asas bahasa termasuklah fonologi dan semantik. Fonologi memberi perhatian terhadap bunyi yang dihasilkan oleh ujaran manusia dari pelbagai sudut dan melihat cara bunyi itu bergabung berdasarkan peraturan tertentu dalam membentuk kata dan akhirnya membentuk ayat.

    Apabila kita bercakap, secara fizikalya yang keluar dari mulut kita ialah komponen fonologi, yakni bunyi. Bahasa membawa makna, kerana tujuan kita bercakap adalah untuk menyampaikan maksud; komponen inilah yang dinamakan semantik.

    Kata nahu sinonim bagi kata tatabahasa (peraturan bahasa). Pada hakikatnya, kata nahu jauh lebih awal muncul dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu berbanding dengan kata tatabahasa. Pengarang Melayu dahulu menggunakan kata nahu untuk merujuk kepada “jalan bahasa”. Sumber kata nahu berasal daripada bahasa Arab yang sama maknanya dengan sintaksis.

    Secara keseluruhannya, buku ini menerangkan pelbagai teori dan kaedah untuk menganalisis nahu. Juga ditunjukkan caranya menganalisis sesuatu unit nahu pada peringkat morfologi dan sintaksis dengan menggunakan teori yang berbeza-beza serta menerangkan falsafah yang mengasaskan sesuatu teori.

    Tumpuan diberi kepada tiga aliran utama, iaitu aliran linguistik moden, transformasi generatif, dan aliran sistemik-fungsional tanpa mengabaikan aliran lain, seperti nahu kognitif. Sumber bagi contoh yang dianalisis termasuklah bahasa aglutinatif (bahasa Melayu, Jawa dan Iban) dan bahasa fleksi (bahasa Inggeris,Arab, Parsi dan Sanskrit). Dengan mengambil contoh bahasa ini dapat diperlihatkan pertalian antara fonologi dengan nahu yang menunjukkan bahawa fonologi mempunyai peranan yang penting dalam nahu.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Mac

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *