Yang Dijunjung dan Yang Dikelek

Dalam Science, 27 Februari 2004, David Graddol menggemparkan dunia apabila  menyatakan bahawa penggunaan bahasa Inggeris sedang mengalami kemerosotan di seluruh dunia. Pada tahun 1950, sembilan peratus daripada penduduk dunia menuturkan bahasa tersebut sebagai bahasa pertama. Seratus tahun kemudian, dijangkakan bahawa hanya lima peratus daripada penduduk dunia akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama sebagai
akibat kadar pertumbuhan penduduk yang bertutur dalam bahasa lain meningkat dengan pesatnya. Menurut Graddol lagi, berdasarkan kajiannya, penutur bahasa Sepanyol, bahasa Hindi/Urdu dan bahasa Arab makin banyak di seluruh dunia. Beliau meramalkan bahawa ketiga-tiga bahasa itu dan bahasa Mandarin akan duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan bahasa Inggeris pada tahun 2050. Dengan kemunculan Brazil, Rusia, India dan China (ada pihak yang menyebut Indonesia juga) sebagai kuasa besar ekonomi dunia pada tahun tersebut, adakah bahasa Inggeris akan kekal berguna atau dominan seperti hari ini?
Kajian yang dilakukan pada tahun 2001 menunjukkan bahawa kurang daripada dua peratus penduduk negara ini menuturkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama. Namun demikian, kumpulan minoriti itulah yang amat lantang bersuara menentang pelaksanaan dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris bagi menggantikan dasar pengajaran dan pemelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Tidak salah jika bahasa Inggeris terus digunakan, seperti yang dituntut oleh golongan tersebut yang, ironinya, diterajui penutur asli bahasa
Melayu, tetapi penggunaannya tidak harus sama sekali meminggirkan bahasa kebangsaan negara. Dengan adanya dasar tersebut, bahasa Melayu akan diletakkan di tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Harus diingat juga bahawa bahasa tersebut merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Dengan adanya dasar itu juga, penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa akan diperkukuh dan dimantapkan dalam kalangan rakyat negara ini. Oleh hal yang demikian, bahasa Melayu dijunjung, bahasa Inggeris dikelek.
Selamat menyambut tahun baharu Masihi 2012.
Armin Azhari Saleh
___
Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Januari 2012

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *