Kuasa Bahasa dalam Pilihan Raya

      No Comments on Kuasa Bahasa dalam Pilihan Raya
DB

Penggunaan bahasa yang baik dalam sesuatu kempen mampu menarik perhatian masyarakat.

   Oleh Ridwan Rashid

    Dalam mana-mana kempen yang diadakan, penganjur akan memmastikan penggunaan bahasa paling indah, manis, dan menyentuh perasaan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kempen ialah usaha yang dirancang dan dilaksanakan dengan menggunakan penerangan untuk mempengaruhi pendapat umum atau mendapatkan sokongan umum terhadap sesuatu. Oleh itu, kempen sentiasa menggunakan kata-kata yang dapat menarik perhatian seseorang untuk menyokong sesuatu yang hendak dilakukan oleh pihak yang menganjurkan kempen.

   Sejak kecil, kanak-kanak secara tidak langsung didedahkan dengan pelbagai jenis kempen. Di sekolah rendah, kempen yang sering dianjurkan ialah kempen kebersihan di sekolah. Matlamat utama kempen ini ialah memastikan agar pelajar sekolah sentiasa peka dengan kebersihan diri sendiri dan kawasan sekolah. Oleh itu, warga pendidik akan memastikan murid sentiasa berpakaian kemas dan bersih ketika ke sekolah. Guru akan menegur muridnya sekiranya kasut yang dipakai kotor dan tidak berpakaian kemas. Tatacara menegur yang dilakukan oleh guru sudah tentu menggunakan pendekatan yang membujuk agar murid memahami maksud yang ingin disampaikan dan secara tidak langsung ibu bapa juga terlibat dalam kempen kebersihan di sekolah. Guru tidak akan memarahi murid yang memakai kasut atau baju yang kotor ke sekolah, guru secara membujuk akan meminta muridnya menyampaikan mesej kepada ibu murid tersebut agar membasuh kasut atau baju anaknya. Begitu juga sekiranya penampilan murid tidak kemas, misalnya rambut yang panjang dan tidak terurus atau kuku yang kotor.

   Pada hemat penulis, kempen kebersihan diri ke sekolah seawal usia persekolahan sememangnya berjaya memberikan kesedaran betapa pentingnya kebersihan diri yang bukan sahaja perlu diamalkan ketika berada disekolah, malah dalam kehidupan seharian. Oleh sebab itu, jika diperhatikan pada hari ini, jarang-jarang kita melihat murid ke sekolah dengan keadaan dan penampilan yang tidak kemas dan bersih. Sudah menjadi kelaziman, anak akan mengadu kepada ibu bapa apabila kasutnya kotor atau penampilannya tidak kemas. Inilah generasi yang lahir daripada usaha kempen kesedaran yang dilakukan di sekolah.

Rencana ini dipetik daripada  Pelita Bahasa bulan Mac 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *