Yang Dijunjung dan Yang Dikelek

      No Comments on Yang Dijunjung dan Yang Dikelek

Dalam Science, 27 Februari 2004, David Graddol menggemparkan dunia apabila menyatakan bahawa penggunaan bahasa Inggeris sedang mengalami kemerosotan di seluruh dunia. Pada tahun 1950, sembilan peratus daripada penduduk dunia menuturkan bahasa tersebut sebagai bahasa pertama. Seratus tahun kemudian, dijangkakan bahawa hanya lima peratus daripada penduduk dunia akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama sebagai akibat kadar pertumbuhan penduduk yang bertutur dalam bahasa lain meningkat dengan pesatnya.

Menurut Graddol lagi, berdasarkan kajiannya, penutur bahasa Sepanyol, bahasa Hindi/Urdu dan

bahasa Arab makin banyak di seluruh dunia. Beliau meramalkan bahawa ketiga-tiga bahasa itu dan bahasa

Mandarin akan duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan bahasa Inggeris pada tahun 2050. Dengan

kemunculan Brazil, Rusia, India dan China (ada pihak yang menyebut Indonesia juga) sebagai kuasa besar

ekonomi dunia pada tahun tersebut, adakah bahasa Inggeris akan kekal berguna atau dominan seperti

hari ini?

Kajian yang dilakukan pada tahun 2001 menunjukkan bahawa kurang daripada dua peratus penduduk

negara ini menuturkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama. Namun demikian, kumpulan minoriti

itulah yang amat lantang bersuara menentang pelaksanaan dasar memartabatkan bahasa Melayu

dan memperkukuh bahasa Inggeris bagi menggantikan dasar pengajaran dan pemelajaran Sains dan

Matematik dalam bahasa Inggeris. Tidak salah jika bahasa Inggeris terus digunakan, seperti yang dituntut

oleh golongan tersebut yang, ironinya, diterajui penutur asli bahasa Melayu, tetapi penggunaannya tidak

harus sama sekali meminggirkan bahasa kebangsaan negara.

Dengan adanya dasar tersebut, bahasa Melayu akan diletakkan di tempat yang sepatutnya, sesuai

dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, seperti yang termaktub dalam Perkara 152

Perlembagaan Malaysia. Harus diingat juga bahawa bahasa tersebut merupakan bahasa pengantar

utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Dengan adanya dasar itu juga, penguasaan

bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu pada peringkat

kebangsaan dan antarabangsa akan diperkukuh dan dimantapkan dalam kalangan rakyat negara ini. Oleh

hal yang demikian, bahasa Melayu dijunjung, bahasa Inggeris dikelek.

Selamat menyambut tahun baharu Masihi 2012.

Armin Azhari Saleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *