Mengapakah Mereka Meletakkan Syarat?

      No Comments on Mengapakah Mereka Meletakkan Syarat?

Meniti kehidupan pada abad ke-21 sememangnya membawa cabaran yang begitu besar terhadap perjuangan bahasa Melayu di negara ini. Sejak nrgara mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu terpaksa bersaing dengan bahasa Inggeris,namun keadaan ini bukannya satu masalah yang menyebabkan kedudukan bahasa Melayu tergugat jika kita bersatu di bawah “payung” yang sama.

Kita tidak perlu gusar atau khuatir dengan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang digunakan secara meluas pada peringkat antarabangsa. Menyedari hakikat ini, rakyat Malaysia seharusnya yakin akan keupayaan dan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tidak kira status kaum yang diwakili, sebagai rakyat yang berada dalam sebuah negara yang sama, kita sewajarnya berasa bangga akan bahasa kebangsaan.

Oleh itu, masyarakat tidak perlu lagi mengimbau nostalgia lampau dengan mengatakan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca. Namun begitu, perkara utama yang perlu ditekankan kini antara lain termasuklah kerjasama daripada semua pihak untuk mentransformasikan kedudukan bahasa Melayu ke peringkat tertinggi.

Lantaran itu, cabaran sebenar kini terletak pada sikap yang dipegang oleh penuturnya. Mendepani zaman yang serba moden dan canggih, majoriti golongan muda lebih selesa menggunakan bahasa yang bercampur aduk. Jika mereka menggunakan
bahasa Inggeris sepenuhnya pada tempat dan situasi yang betul, hal berkenaan tidak menjadi masalah, malahan masyarakat juga digalakkan untuk mempelajari lebih daripada satu bahasa demi persaingan pada peringkat global. Oleh hal yang demikian, sikap negatif yang terdapat dalam diri penutur merupakan halangan dan cabaran terbesar yang menjadi punca kepada segala permasalahan yang melanda bahasa Melayu.

Cabaran getir untuk mengangkat “darjat” bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kian bertambah apabila sebahagian besar pelajar sering kali “berlakon” menjelang musim peperiksaan. Mereka sebenarnya sedar dengan tahap keupayaan diri ketika ingin menduduki peperiksaan penting. Saban tahun, pelajar tersebut akan berhempas pulas mengulang kaji aspek tatabahasa untuk bertutur menggunakan bahasa Melayu yang betul dan baik terutamanya sewaktu menduduki ujian lisan. Pada masa yang
sama, perkara ini turut terjadi dalam kalangan graduan yang ingin mendapatkan pekerjaan. Pada ketika itu, barulah mereka sedar bahawa masih terdapat majikan yang mementingkan bahasa kebangsaan sebagai syarat utama untuk bekerja kerana sebelum ini mereka begitu asyik berkomunikasi menggunakan slanga dalam segala urusan harian.

   Di samping itu, terdapat sebilangan wakil rakyat yang cuba bertutur sebaik yang mungkin dalam bahasa Melayu apabila berhujah di Dewan Rakyat, namun dalam kehidupan seharian mereka lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris. Selain itu, golongan selebriti dan personaliti terkenal yang dianggap idola masyarakat juga turut bersikap sedemikian. Walaupun tidak semua antara mereka yang hidup dalam ruang fantasi, adakah mereka berasakan diri mereka perlu membawa gaya “urban” waima dalam soal berbahasa sekalipun? Adakah golongan yang disebut ini sememangnya meletakkan syarat untuk mempopularkan bahasa ibunda sendiri?

Abd. Kadir Mohd Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *