Strategi Melonjakkan Bahasa Melayu dalam TMK

      No Comments on Strategi Melonjakkan Bahasa Melayu dalam TMK

   Bahasa Melayu telah menempuh beberapa zaman yang mencabar dengan kedatangan pengaruh asing ke alam Melayu seperti keddatangan Portugis, Belanda dan Inggeris. Selepas itu, evolusi bahasa Melayu turut berlaku secara berperingkat. Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat (TMK) sewajarnya melonjakkan lagi peranan bahasa Melayu, selain bertindak menjadi komunikasi terpenting.

   Menyedari hakikat tersebut, bahasa Melayu perlu berdiri kukuh dan mantap terlebih dahulu bagi membolehkannya memperkatakan apa-apa sahaja tentang bidang yang berkembang pada masa kini khususnya bidang TMK. Keupayaan bahasa Melayu bertahan dalam era globalisasi banyak bergantung pada sikap masyarakat penuturnya sendiri untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku secara mendadak. Sikap sebilangan masyarakat terhadap bahasa Melayu menyebabkan pelbagai kesukaran untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu bukan sahaja di negara sendiri, malah pada peringkat antarabangsa.

Memang kedengarannya begitu klise. Namun demikian, tidak dapat tidak, amalan berbahasa dengan baik dan betul perlu dipupuk dan dibajai bermula pada peringkat sekolah rendah lagi supaya apabila berada dalam lingkungan masyarakat yang lebih besar kita tidak mempunyai masalah seperti yang berlaku pada hari ini. Hanya dengan cara ini bahasa Melayu akan mendapat tempat yang sewajarnya dalam TMK.

Bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya bahasa tunggal yang dapat digunakan menerusi aplikasi dalam teknologi siber, malah kini bahasa Arab dan Mandarin juga mula mendapat tempat dalam kalangan pengguna internet. Hakikat bahawa bidang TMK merupakan ilmu yang datang dari luar memang tidak dapat dinafikan. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya bahasa yang dapat digunakan menerusi aplikasi siber kerana bahasa Melayu juga merupakan salah satu bahasa yang mempunyai jumlah penutur yang cukup besar di dunia.

Sementara itu, perkembangan pesat dalam TMK ini juga menyebabkan penggunaan bahasa rojak semakin tidak terkendali. Bahasa rojak semakin hari semakin berkembang luas dalam kalangan pengguna aplikasi seperti WhatsApp, WeChat, facebook dan instagram. Fenomena ini jika dibiarkan berterusan dikhuatiri terus mencemarkan nilai-nilai asli dalam bahasa Melayu, apatah lagi jika isu ini melibatkan kedaulatan bahasa Melayu itu sendiri.

Strategi yang perlu dirancang ialah masyarakat perlu bersedia menerima cabaran perkembangan TMK yang dipengaruhi oleh bahasa Inggeris. Pada masa yang sama, usaha untuk membentuk peristilahan bahasa Melayu dalam bidang ini hendaklah dilakukan secara progresif dan terbuka dalam menerima penyerapan masuk kata asing untuk perbendaharaan kata ke dalam bahasa Melayu.

Walau apa-apa pun alasan yang diberikan, bahasa Melayu tetap mampu berdiri utuh sebagai bahasa ilmu yang mampu menggalas tanggungjawab untuk menyebarkan ilmu dalam bidang TMK dengan sokongan pelbagai pihak.

Abd. Kadir Mohd. Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *