Seandainya Rakyat Berasa Bangga…

      No Comments on Seandainya Rakyat Berasa Bangga…

Bahasa Melayu terpaksa menghadapi pelbagai cabaran, sama ada dalam konteks nasional ataupun pada peringkat antarabangsa. Pada permulaan abad ke-20, iaitu semasa era penjajahan, bahasa Melayu telah mengahadapi pelbagai cabaran lalu bermulalah episod kemerosotan kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau ini.

Walaupun terdapat pelbagai halangan, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diharapkan tetap berjalan lancar. Harapan kita terhadap bahasa Melayu tidak pernah pudar demi memastikan bahasa Melayu terus berada di mercu. Cabaran yang harus dihadapi oleh bahasa Melayu dalam abad ke-21 perlu ditangani dengan berhati-hati supaya bahasa Melayu terus hidup dan mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.

Sikap penutur atau masyarakat amat penting dalam usaha untuk terus memartabatkan bahasa Melayu. Masyarakat perlu bersungguh-sungguh untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bagi bahasa Melayu, cabaran sebenar terletak pada sikap dan amalan yang dijunjung oleh penuturnya. Bahasa Melayu sememangnya terpaksa bersaing dengan bahasa Inggeris tetapi keadaan ini tidak boleh dianggap sebagai “malapetaka” sehingga menggugat kedudukan bahasa Melayu. Rakyat Malaysia sendiri perlu bersatu hati dan yakin dengan kemampuan dan keupayaan bahasa Melayu dalam menongkah arus globalisasi.

Kita sepatutnya bangga akan bahasa Melayu kerana mampu mengekalkan kedudukannya dan terus gah hingga kini. Jalan terbaik untuk menghadapi cabaran mendatang ialah sikap rakyat kita sendiri terhadap kemampuan bahasa Melayu. Memang tidak dinafikan bahawa kita perlu mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Inggeris amat perlu sebagai bahasa pertuturan pada peringkat antarabangsa. Namun begitu, jangan jadikan alasan untuk terus menggunakan bahasa ini sehingga menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Yang paling penting, rakyat Malaysia sendiri perlu memiliki nilai jati diri yang kukuh terhadap bahasa kebangsaan.

Seandainya rakyat Malaysia mempunyai perasaan bangga terhadap bahasa kebangsaan, sudah pasti mereka tahu bila dan di mana mereka harus menggunakan bahasa Inggeris, dan bila pula masa yang sepatutnya mereka perlu bertutur dalam bahasa Melayu. Oleh yang demikian, isu persaingan antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris tidak mungkin berlaku sekiranya mereka mengetahui penggunaannya di tempat yang betul. Segala permasalahan juga tidak akan timbul.

Kini jumlah penutur bahasa Melayu berjumlah kira-kira 250 juta dan digunakan di empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Mungkin ada yang terlepas pandang bahawa bahasa Melayu pernah berkumandang dalam majlis perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Oleh yang demikian, kita perlu ada jiwa untuk terus mengangkat martabat bahasa Melayu ke persada dunia. Rakyat, para ilmuwan serta pemimpin perlu bersatu hati dalam usaha untuk menjadikan martabat bahasa Melayu kembali ke landasannya !

Sidang editor Pelita Bahasa mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2016.

Abd. Kadir Mohd. Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *