Roh Bahasa dan Kecintaan Rakyat

      No Comments on Roh Bahasa dan Kecintaan Rakyat

Oleh Rahman Shaari

Pengumuman Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak tentang Program Dwibahasa(DLP) telah menimbulkan aneka reaksi dalam kalangan orang ramai. Ini ialah kali ketiga kumpulan pejuang bahasa Melayu menyuarakan rasa bimbang secara besar-besaran. Mereka bimbang, akibat perancangan kerajaan, bahasa Melayu akan gagal menjadi bahasa ilmu di Malaysia. Selain DLP, Perdana Menteri juga menyebutkan Program Imersif Tinggi (HIP) yang bertujuan mempercekap penguasaan berbahasa Inggeris pelajar.

Bagi Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong, HIP dapat diterima, tetapi beliau curiga terhadap DLP, kerana katanya dasar ini mungkin akan meminggirkan bahasa Melayu. (BH,31 Oktober 2015). Peminggiran itu akan menjejaskan sistem pendidikan di negara ini.

Terdahulu, Sasterawan Negara Dato’ Baha Zain, diikuti oleh ahli bahasa dan sastera yang lain, secara langsung menyebutkan ketidaksetujuan mereka. Dalam kalangan
pelajar di institut pengajian tinggi, rancangan yang diutarakan oleh Perdana Menteri amat dialu-alukan. (BH, 30 Oktober, 2015).Demikian juga dalam kalangan pelajar sekolah menengah. (BH, 31 Oktober, 2015).Sekurang-kurangnya,itulah yang digambarkan oleh akhbar.

Sejak pengisytiharan kemerdekaan negara (1957) hingga kini, kita telah menyaksikan kebangkitan ahli-ahli dan penyokong-penyokong bahasa Melayu menentang sebarang dasar oleh pihak atasan jika dirasakan dasar itu akan melemahkan penggunaan bahasa Melayu. Pihak kerajaan pula, selama ini berusaha untuk mempermaju pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris melalui sistem yang berubah-ubah.

Jika perkara ini diperhatikan dengan teliti, kita akan dapat menanggapi keseluruhan fenomena. Pergolakan ini ialah pertentangan antara dua hasrat baik, dan tiada hasrat yang sebaliknya. Perdana Menteri kini, sama dengan Perdana Menteri yang lalu, telah mengumumkan dasar yang bertujuan memajukan pelajar Malaysia bagi menghadapi zaman yang kian mencabar. Pejuang bahasa pula melihat hal ini sebagai punca kemerosotan peranan bahasa Melayu pada masa hadapan.Ini bermakna, satu perkara telah dilihat dari perspektif yang berbeza.

Rencana ini dipetik dalam majalah Pelita Bahasa bulan Disember 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *