Iktibar daripada Pelaksanaan PPSMI

      No Comments on Iktibar daripada Pelaksanaan PPSMI

Dalam Belanjawan 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri
Mohd. Najib Tun Abdul Razak pada 23 Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan
RM135 juta bagi pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan
Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), termasuk memperkenalkan inisiatif
Program Dwibahasa (DLP) dan Program Imersif Tinggi (HIP).

Inisiatif DLP dan HIP itu akan dilaksanakan menerusi gelombang kedua, Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, dengan DLP dan HIP
dilaksanakan untuk sekolah yang memenuhi kriteria yang ditetapkan bermula
pada tahun hadapan.

Sehubungan dengan itu, pada 29 Oktober lalu, satu sesi perbincangan
meja bulat berhubung isu DLP dan HIP diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka
yang dihadiri oleh wakil 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meluluskan satu
pembentukan jawatankuasa bertindak bagi mengkaji semula pelaksanaannya.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dato’ Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berpendapat,
dua inisiatif itu diperkenalkan bagi memperkasakan penggunaan bahasa Inggeris.
Pelaksanaan HIP di semua sekolah akan dilakukan secara berperingkat, manakala
DLP akan dilaksanakan secara pilihan. “Kedua-dua inisiatif ini seiring dengan
pelaksanaan MBMMBI,” jelas Khair.

Sebenarnya, dalam hal ini pihak berwajib boleh menyelesaikan isu ini melalui
pendekatan yang berhemah tanpa “melukakan” hati mana-mana pihak. Usaha
mereka untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan dan juga
Perdana Menteri sendiri amat dialu-alukan supaya satu keputusan yang baik
dapat dicapai bersama-sama. Kita tidak mahu sistem pendidikan di negara ini
sering dilanda masalah sehingga kerap dipolitikkan oleh pihak tertentu.

Tegasnya, persepsi terhadap pelaksanaan DLP dan HIP bukan bermakna rakyat
Malaysia bersikap antibahasa Inggeris, sebaliknya pemantapan penguasaan
bahasa Inggeris perlu dilakukan dengan mekanisme berkesan tanpa meminggirkan
bahasa kebangsaan di negara ini. Dapatan kajian terhadap pelaksanaan
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI) sebelum ini menunjukkan kaedah berkenaan didapati tidak berkesan untuk
memperkasakan modal insan bertaraf dunia atau setaraf dengan negara maju.

Semua pihak perlu mengambil iktibar daripada kelemahan pelaksanaan PPSMI
yang ternyata gagal mencapai matlamat sebenar. Pelaksanaan PPSMI itu juga
mengakibatkan prestasi sekolah kebangsaan menjunam ekoran pelaksanaannya
yang dilakukan tanpa kajian menyeluruh.

Penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris perlu diberikan perhatian
yang sama rata, malah bukan menjadi satu masalah untuk rakyat Malaysia
menguasai lebih daripada satu bahasa. Walau bagaimanapun, setiap kali program
baharu dilaksanakan, tindakan yang konsisten perlu dilakukan, bukannya sentiasa
berubah-ubah sehingga memberi kesan kepada pelajar.

Abd. Kadir Mohd Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *