Beretikakah Bahasa Media?

      No Comments on Beretikakah Bahasa Media?

OLEH: JOHARI AHMAD

Pada awal Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,  ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Bayan Baru, Bukit Jambul, Pulau Pinang, menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan media yang memutar belit laporan mereka. Beliau turut memberikan amaran bahawa beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap media jika mereka didapati memutar belit sebarang laporan.

Beliau turut mengingatkan pengamal media agar mematuhi etika kewartawanan dan media tidak boleh sesuka hati memutar belit laporan yang disiarkan.

“Anda mesti menghormati etika. Anda tulis berdasarkan fakta. Jangan buat tafsiran, jangan sesekali putar belit. Kita tidak akan bertolak ansur dengan sebarang putar belit,” ujar beliau mengulangi ayatnya dalam bahasa Inggeris kerana beliau beranggapan terdapat wartawan yang memahami bahasa itu lebih daripada Melayu dan beliau mahu wartawan faham ucapannya dengan betul.

Bukan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid sahaja yang pernah mengeluarkan peringatan sebegini. Sejak belakangan ini, banyak pemimpin negara menegur sikap segelintir wartawan yang tidak melaporkan sesuatu isu atau situasi berdasarkan perkara sebenar. Tidak kira sama ada media elektronik atau  media cetak, perkara yang sama masih berlaku. Lebih menyedihkan, ada tokoh yang diwawancara oleh wartawan mengharapkan apa-apa yang diluahkan oleh mereka dilaporkan dengan betul kepada pembaca, tetapi malangnya harapan tersebut tidak menjadi kenyataan. Sememangnya tidak dinafikan bahawa wartawan berhak mengeluarkan atau tidak kenyataan yang dinyatakan oleh tokoh yang diwawancara kerana media terikat dengan dasar penerbitan syarikat media. Malah tokoh yang diwawancara juga pastinya akur jika ucapan mereka tidak disiarkan dan diterbitkan 100 peratus. Begitu pun, hal ini tidaklah sehingga membenarkan kenyataan mereka diputar belit atau diubah dengan tujuan menyokong atau menyanggah sesuatu isu.

Keadaan ini mengakibatkan banyak pemimpin khususnya ahli politik lebih berhati-hati ketika media cuba mendapatkan pandangan mereka atau ketika diwawancara. Malah ada dalam kalangan mereka mengambil jalan yang selamat dengan mengarahkan pegawai media atau pegawai khas mereka untuk merakam sesi wawancara yang diadakan bagi memastikan apa-apa yang disiarkan tidak menyimpang daripada sesi wawancara yang sebenar.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Oktober 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *