Pemimpin dalam Peribahasa Melayu

      No Comments on Pemimpin dalam Peribahasa Melayu

OLEH: MOHAMAD ZUBER ISMAIL

Masyarakat Melayu sangat kaya dengan pengetahuan yang meliputi pelbagai disiplin ilmu. Salah satu cabang kesusasteraan Melayu tradisional yang terus membawa fenomena termasuklah ilmu yang berkaitan dengan peribahasa Melayu. Ungkapan yang termaktub dalam peribahasa Melayu terakam sebagai khazanah ilmu yang sangai tinggi nilai keintelektualannya.

Lantunan ketajaman dan sensitiviti pemikiran prolifik Melayu yang diterjemahkan melalui peribahasa yang tergambar secara halus dan saintifik telah memberikan sumbangan yang amat besar dalam kehidupan masyarakat Melayu. Nilai moral dan didaktik yang terkandung dalam peribahasa ini menjadi pengajaran yang dapat digunakan sebagai rujukan ilmiah dan sumber pendidikan berharga untuk tatapan generasi yang seterusnya.

Peribahasa Melayu mempunyai matlamat yang jelas iaitu untuk menyampaikan teguran dan sindiran dengan cara yang paling halus tanpa menyinggung perasaan pihak lain. Hal ini amat relevan dan signifikan dengan konsep kesantunan berbahasa yang terdapat dalam adab dan budaya Melayu. Peribahasa Melayu yang tergambar melalui pepatah, bidalan, teromba dan simpulan bahasa jelas menampakkan nilai keunikan yang tersendiri.

Peribahasa Melayu merupakan khazanah budaya yang mencerminkan ketamadunan dan pemikiran sejak zaman berzaman yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan bermasyarakat seperti adab, budaya, pemikiran, falsafah dan tingkah laku. Salah satu unsur penting yang digambarkan secara jelas dalam peribahasa Melayu adalah berkaitan dengan pemimpin dan kepimpinan Melayu. Pemimpin dan kepimpinan Melayu merupakan salah satu isu yang sentiasa diberikan perhatian oleh masyarakat sejak dari zaman tradisi hinggalah ke era modenisasi. Perbahasan mengenai isu kepimpinan ini bukan sahaja sentiasa mendapat perhatian masyarakat, malah terus meniti dari bibir ke bibir.

Masyarakat Melayu tradisi telah berjaya menghubungkaitkan sikap yang terpancar dalam diri pemimpin secara halus dan teliti dalam peribahasa Melayu untuk dijadikan renungan dan iktibar. Hal ini berlaku hasil daripada pengamatan dan ketajaman pemerhatian masyarakat tradisi. Mereka telah berjaya menjelmakan pengalaman dan persekitaran mereka dalam bait-bait kata yang indah dan melankolik bagi menggambarkan pemimpin dan kepimpinan.

Ungkapan ini telah dilantunkan melalui makna yang tersirat, namun penuh tertib dan sopan untuk menyampaikan nasihat dan teguran tanpa menimbulkan rasa kecil hati dan menyinggung perasaan orang lain terutamanya bagi mereka yang lebih tinggi pangkat, darjat dan keturunannya. Banyak pepatah lama memaparkan tentang nilai-nilai murni dan kriteria pemimpin yang dikiaskan dalam peribahasa Melayu.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Oktober 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *