Bahasa Melayu untuk Lulus Peperiksaan?

      No Comments on Bahasa Melayu untuk Lulus Peperiksaan?

OLEH: WARIS PENDETA

Sudah termaklum bahawa bahasa merupakan wahana utama untuk menyampaikan idea sama ada secara lisan ataupun melalui tulisan. Oleh hal yang demikian, keberkesanan penyampaian buah fikiran bergantung pada tahap penguasaan bahasa dan kebijaksanaan penyampainya. Ertinya, seseorang yang menguasai bahasa dengan baik dan bijak pula memanfaatkannya ternyata lebih berkeupayaan menyampaikan idea berbanding dengan individu yang lemah penguasaan bahasanya. Keupayaan memahami banyak bahasa pula memudahkan individu yang berkenaan berkomunikasi, selain dapat menimba ilmu pengetahuan daripada pelbagai sumber.

Sebagai negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa, sudah tentu pelbagai bahasa dituturkan oleh rakyat negara ini. Namun begitu, setiap warganegara perlu menguasai bahasa Melayu memandangkan bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, sekali gus menjadi bahasa pengantar pendidikan negara ini. Oleh sebab itu, generasi muda, khususnya murid sekolah bukan sahaja dikehendaki mempelajari Bahasa Melayu (BM) tetapi juga diwajibkan lulus mata pelajaran tersebut dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Banyak usaha dilaksanakan oleh pihak yang berkenaan bagi memastikan murid bukan sekadar lulus tetapi memperoleh keputusan yang cemerlang dalam BM pada setiap peperiksaan.

Realitinya, semua murid mula mempelajari BM ketika mereka memasuki alam persekolahan, iaitu di sekolah rendah. Kali pertama, kemahiran dan kecekapan berbahasa murid dinilai dalam peperiksaan UPSR. Di sekolah menengah rendah pula, tahap penguasaan bahasa murid dinilai dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau sekarang Penilaian Tingkatan Tiga (PT3). Pelbagai kemahiran dan kecekapan berbahasa terus diajarkan dan ditingkatkan lagi apabila murid meneruskan pengajian di sekolah menengah atas, khususnya di tingkatan empat dan lima sebelum dinilai dalam peperiksaan SPM. Kebiasaannya, apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan, bilangan pelajar yang memperoleh keputusan yang cemerlang ataupun baik dalam BM pada setiap tahun dilaporkan sebagai membanggakan.

Keputusan pada tahap cemerlang ataupun sekurang-kurangnya baik bagi BM memberikan gambaran bahawa murid sudah pun menguasai kemahiran dan kecekapan berbahasa tertentu sewajarnya. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam peperiksaan SPM khususnya, kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis serta pelbagai kecekapan berbahasa turut dinilai sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Selain peperiksaan bertulis, kecekapan pelajar menggunakan bahasa secara lisan juga dinilai secara khusus dalam Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS).

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Oktober 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *