Semantik : Konsep, Perkataan dan Rujukan

      No Comments on Semantik : Konsep, Perkataan dan Rujukan

OLEH RAMINAH SABRAN

Dalam siri yang lepas kita membincangkan jenis-jenis makna, dan dalam siri pada bulan ini, kita akan melihat hubungan antara konsep, perkataan dan rujukan, dan perkaitan makna antara perkataan.

Sebenarnya, tidak wujud hubungan yang nyata dan mutlak antara perkataan dengan benda yang dirujuknya.  Sebagai contoh, tiada hubungan antara perkataan [kučiŋ] dengan binatang yang kita rujuk  sebagai kucing. (Mungkin ada kaitan jika bahasa Melayu merujuk binatang kucing sebagai [miaw].

Walau bagaimanapun, terdapat usaha dalam kalangan ahli bahasa untuk melihat hubungan tersebut dengan mengaitkan perkataan dengan rujukannya melalui perantaraan konsep yang ada dalam fikiran penutur. Ada dua pandangan berhubung dengan perkara tersebut, iaitu yang dikemukakan oleh Ferdinand de Saussure, C. K.Ogden dan I. A. Richards.

Dalam melihat hubungan antara perkataan dengan rujukannya, Ferdinand de Saussure (1916) mengemukakan teori sign. Bagi beliau, bahasa dapat memperlihatkan hubungan antara maksud dengan lambang  yang terdiri daripada bunyi atau huruf yang membentuk perkataan. Bagi beliau, makna diistilahkan sebagai signifier, manakala lambang ialah signifie. Terdapat hubungan antara makna dengan lambang, tetapi hanya wujud secara psikologi atau dalam fikiran penutur.  Ini bermakna, apabila seseorang itu menyebut sesuatu perkataan, secara psikologinya, hal tersebut menggambarkan benda yang dirujuknya itu dalam fikirannya. Misalnya, jika dia menyebut perkataan meja, secara automatik dalam fikirannya menggambarkan benda meja. Teori ini ada kelemahannya, iaitu kita sebenarnya tidak menggambarkan benda setiap kali kita menyebut perkataan yang merujuk kepada sesuatu benda itu, misalnya kita tidak menggambarkan meja dalam fikiran kita setiap kali kita menyebut perkataan tersebut.  Gambaran itu juga sukar ditentukan kerana benda meja itu terbina dalam  berbagai-bagai bentuk. Ada yang berbentuk empat segi, panjang, bulat, tiga segi, dan sebagainya. Selain itu, teori ini juga dikatakan lemah kerana tidak dapat menjawab persoalan, bagaimana jika perkataan yang kita sebut itu merupakan perkataan yang  abstrak, seperti keindahan, ketuhanan, keturunan, dan kecenderungan?

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa September 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *