Kepelbagaian dan Keterancaman Bahasa

      No Comments on Kepelbagaian dan Keterancaman Bahasa

OLEH TEO KOK SEONG

Tidak dapat dinafikan bahawa fenomena kepelbagaian bahasa kini didapati lebih mudah terancam daripada masa lampau. Kewujudan berbagai-bagai bahasa dalam sesuatu kawasan memperlihatkan bahasa kurang dominan tidak lagi mampu bertahan lama seperti suatu ketika dahulu, kerana dimusnahkan oleh bahasa yang lebih dominan dalam waktu singkat.

Keadaan ini berlaku kerana ketahanan bahasa yang kurang dominan itu tidak sekental seperti pada masa lampau.  Pada masa kini, dalam hanya satu generasi, sesebuah bahasa itu boleh pupus sepenuhnya, yakni lenyap daripada muka bumi ini untuk selama-lamanya. Hal Ini jauh berbeza dengan keadaannya pada masa lampau yang memperlihatkan tempoh empat generasi atau seabad, untuk memusnahkan sesebuah bahasa itu.

Fenomena kepelbagaian bahasa terancam melalui  tiga senario. Yang pertama, berlaku pada peringkat antarabangsa akibat beberapa proses yang dikaitkan dengan perkembangan sejagat dalam bentuk globalisasi.   Melalui hal ini, kita telah menyaksikan beberapa buah bahasa negara telah digantikan dengan bahasa lain, lebih tepat lagi oleh sebuah bahasa dunia yang penting lagi dominan. Senario pertama ini menunjukkan sesebuah bahasa negara itu digugat dan akhirnya dipinggirkan sebagai lapuk dan tidak berfaedah lagi, oleh fahaman yang mengagung-agungkan pengamalan satu budaya dunia.  Budaya itu tidak lain tidak bukan berasaskan satu bahasa yang perlu dikongsi bersama oleh semua negara, iaitu bahasa Inggeris.

Situasi ini turut berlaku di Malaysia pada 1993 apabila langkah tertentu diambil untuk menggunakan bahasa Inggeris semula dalam sektor pengajian tinggi, setelah dikendalikan dengan jayanya dalam bahasa negara ini, iaitu bahasa Melayu, untuk beberapa dekad lamanya.  Bagaimanapun, langkah ini dibantah keras dan tidak sempat dilaksanakan.  Meskipun demikian, sedekad kemudian, iaitu pada 2003, Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berjaya dilaksanakan secara dogmatik dalam persekolahan rendah dan menengah, namun kemudiannya terpaksa ditinggalkan pada 2009.

Walaupun bahasa Melayu cuba digantikan dengan bahasa Inggeris di negara ini, nampaknya hasrat sebegini tidak berjaya mendapat tempat di hati rakyat terbanyak kerana kebanyakan rakyat bukan sahaja menyedari nilai bahasa Melayu, mereka juga mahu mengekalkan identiti nasional yang berteraskan jati diri budaya watan.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa September 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *