Bukan Bahasa Pembunuh

      No Comments on Bukan Bahasa Pembunuh

OLEH JENIRI AMIR

Mengikut ramalan Michael Krauss, daripada  6,784 bahasa yang dikenal pasti oleh Ethnologue, 50 peratus daripadanya, iaitu 3,000 bahasa akan pupus dalam tempoh  1,200 bulan!  Dalam tempoh dua kurun terakhir, semakin banyak bahasa yang maut. Bahasa sebagai sesuatu yang hidup, tidak mati secara alamiah. Bahasa tidak mati dengan sendirinya. Selagi ada penutur sesuatu bahasa, selagi itulah bahasa berkenaan dilafazkan.

Memang ada bahasa yang mati mengejut umpama manusia diserang sakit jantung secara tiba-tiba. Bayangkan, ada yang mengatakan bahawa satu bahasa hilang setiap dua minggu. Hal ini merupakan sesuatu yang amat menggerunkan. Jika fenomena ini benar-benar menjadi kenyataan, bayangkan jumlah bahasa, termasuk bahasa etnik yang mampu tinggal dalam sepuluh kurun lagi?

Mengikut Ethnologue, sekitar 515 bahasa berisiko hampir pupus. Dari segi kawasan, sebanyak 210 bahasa yang hampir pupus terdapat di Pasifik, 170 di Amerika, 78 di Asia, 46 di Afrika, dan 12 di Eropah. Bahasa itu umpama pejuang yang bertarung dengan maut. Pertarungannya amat getir kerana bahasa berdepan dengan banyak cabaran. Lagi sedikit penutur sesuatu bahasa itu, bertambah besar kemungkinannya untuk hilang dari muka bumi.

Seyogia diingat, ada daripada populasi etnik di Sabah dan Sarawak kurang daripada 500 orang. Kebanyakan rakyat di negara ini hanya tahu beberapa etnik sahaja yang ada di kedua-dua negeri terbabit. Kebanyakan etnik pula begitu asing kepada mereka. Pernahkah anda mendengar etnik Kagayan, Kimaragang, Makiang, Lobu, Lotud, Makiang, Minokok, Paitan, Sembakung, Serudung, Sinabu, Tengara, Tidung atau Ubian di Sabah? Mungkin juga anda tidak pernah mendengar etnik dan bahasa Balau, Bukitan, Lahanan, Lisum, Longkiput, Lun Dayeh, Remun, Saban, Sekapan, Sihan, Tabun, Tagal atau Ukit? Setiap bahasa berkenaan dituturkan oleh etnik berkenaan atau etnik-etnik lain yang berinteraksi aktif dengan etnik itu di kawasan pedalaman.

Bahasa etnik sukar berkembang kecuali dalam lingkungan penduduk yang mendiami kawasan etnik terbabit. Bahasa etnik amat kaya dengan hal-hal berkaitan adat resam, kegiatan harian, dan persekitaran. Justeru, apabila bahasa berkenaan mati, maka hal-hal lain yang berkaitan dengan penuturnya juga akan turut mati dan tidak mungkin dapat dikembalikan. Manusia yang mati ada kubur dan batu nisan, namun bahasa yang mati mungkin tidak meninggalkan jejak, kecuali jika didokumentasikan. Amatlah malang jika perkara sedemikian menimpa  ratusan bahasa etnik Orang Asli dan peribumi di Sabah dan Sarawak.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa September 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *