Mengikis Persepsi Negatif

      No Comments on Mengikis Persepsi Negatif

Sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, bahasa Melayu merupakan bahasa yang wajib dituturkan oleh seluruh rakyat Malaysia. Bahasa Melayu mewakili setiap orang rakyat Malaysia waima bagi yang berbangsa Melayu mahupun bukan Melayu. Statusnya sebagai bahasa peribumi menyerlahkan lagi akan kepentingannya untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang berasal daripada pelbagai kaum.

Bahasa Melayu merupakan pilihan tepat untuk dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara, sekali gus membangkitkan “aura” dalam memupuk semangat kebangsaan antara pelbagai kaum. Walau apa-apa pun yang diperkatakan tentang kehebatan bahasa Melayu, namun ada pihak tertentu yang tidak pernah meyakini akan penggunaannya sebagai bahasa penyatuan, malah lebih malang lagi bahasa Melayu tidak diyakini sepenuhnya oleh sebilangan rakyatnya sendiri.

Tegasnya, bahasa Melayu tidak pernah menjadi penghalang kepada kemajuan rakyat Malaysia. Bahasa Melayu mampu mendidik rakyat Malaysia serta generasi pada masa akan datang dalam apa-apa jua cabang ilmu. Tanpa mengabaikan bahasa ibunda masing-masing, atau bahasa etnik yang diwakili oleh setiap kaum sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu tidak pernah menghapuskan nilai jati diri mana-mana etnik di negara ini.

Isu ini sudah lama diperdebatkan, namun jarang sekali mendapat perhatian pelbagai pihak. Adakah penggunaan bahasa Melayu yang begitu meluas kini dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik menjadi ancaman kepada bahasa etnik itu sendiri, khususnya bahasa etnik di Sabah dan Sarawak? Adakah bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa “pembunuh”? Walaupun kita perlu menghormati dan menggunakan bahasa Melayu, namun kita tidak pernah memaksa penutur sesuatu bahasa ibunda atau etnik itu perlu melupakan bahasa mereka sendiri.

Sebenarnya, sesebuah bahasa itu mampu bertahan lama jika komuniti terbabit menghargai dan berjaya mengekalkan roh jati diri mereka. Rasa cinta akan bahasa etnik masing-masing mampu mengekalkan kewujudan sesebuah bahasa itu untuk tempoh yang panjang tanpa menganggap penyebaran bahasa lain terutamanya bahasa Melayu sebagai bahasa yang membunuh identiti mereka. Segala persepsi negatif harus disisihkan demi kepentingan sebuah negara yang berdaulat.

Tidak menjadi kesalahan bagi sesuatu kaum di negara ini untuk berasa bangga dan mengagungkan budaya azali mereka, namun pada masa yang sama mereka perlu bersikap adil dengan tidak meminggirkan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Justeru, pemimpin parti politik yang mewakili kaum tertentu juga disarankan supaya menggunakan bahasa Melayu dalam acara rasmi meskipun  hanya dihadiri oleh khalayak yang bertutur dalam bahasa ibunda sama.

Sudah tiba masanya kita melahirkan keyakinan penuh terhadap bahasa Melayu untuk mendidik anak bangsa, selain mengutamakan peranannya untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Abd. Kadir Mohd. Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *