Sinergogi Bina Upaya Insan Glokal

      No Comments on Sinergogi Bina Upaya Insan Glokal

Judul Buku              : Sinergogi Bina Upaya Insan Glokal

Pengarang                : Mohd. Nor Anuar

Penerbit                    : Dewan  Bahasa dan Pustaka

Harga                         : RM25.00

Tahun Terbit            :2015

Pengulas                    : Hana Hanani

Sinergogi merupakan satu ungkapan gabungan daripada dua perkataan Yunani, iaitu synergos yang bermaksud bekerjasama dan agogus yang bermaksud pengajar.  Sinergogi membawa maks

Oleh hal yang demikian, Bahagian pendidikan guru sejak awal lagi telah memaktubkan sinergogi dalam kurikulum pendidikan guru sebagai satu pendekatan yang diperlukan untuk membina profesionalisme dan memartabatkan pendidikan guru di Malaysia supaya bertaraf global. Menjadi agenda bahagian pendidikan guru meneruskan proses pendidikan negara untuk melahirkan warga guru yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kehendak falsafah pendidikan kebangsaan (FPK). Sistem pendidikan guru menjadi saluran kelahiran bakal pendidik dan pelbagai komponen yang disinergikan untuk menghasilkan ilmu, kemahiran, dan nilai yang menjadi prasyarat kelahiran mereka.ud mempelbagaikan perspektif pendidikan supaya tidak terkongkong dalam satu perspektif sahaja. Prinsip berfikiran secara global dan bertindak secara lokal (glokal) merupakan prinsip utama yang dipegang dalam perspektif sinergogi.

Lantaran itu, buku Sinergogi Bina Upaya Insan Glokal ini dihasilkan untuk menyebarkan maklumat tentang sinergogi yang masih terhad penerbitan dan kefahamannya dalam kalangan pendidik di negara ini. Kepentingan peta konsep tentang pelbagai perspektif sinergi dalam pembinaan budaya guru ialah fungsinya dalam mencetuskan iradat minda dan dinamika sesebuah organisasi yang ingin bercirikan kecendekiawanan. Inisiatif secara serius untuk mengambil seluruh keperluan memperincikan konsep thaqafah sinergogi dalam kerangka falsafah pendidikan negara dan memperluas lagi pendekatan sistemiknya dalam kalangan pendidik tanah air. Hal ini akan menghasilkan disiplin holistik tentang konsepsi pendidikan guru. Konsepsi ini mampu mempengaruhi sikap profesional guru dalam memperkaya dunia dan khazanah pendidikan guru untuk dikongsi bersama-sama oleh masyarakat.

Sementara itu, buku ini memaparkan realiti betapa perlunya sinergogi dijadikan landasan berfikir dan bertindak dalam konteks membentuk masyarakat glokal, iaitu masyarakat atau organisasi yang terbuka terhadap unsur pendidikan bagi membina keupayaan strategik seperti kolaborasi, rekreasi intelektual, perkongsian, dan potensi bagi menghadapi cabaran globalisasi pada masa kini. Keupayaan strategik merupakan prasarana emosi yang penting untuk menangani dilema di Malaysia dalam membentuk masyarakat glokal, iaitu masyarakat yang mempunyai mentaliti kelas pertama selaras dengan tahap prasarana fizikal yang bertaraf dunia pertama.

Mereka yang terlibat dengan institusi pendidikan seperti pensyarah dan guru sekolah tidak dapat lari daripada bekerja secara berpasukan, sama ada dalam menguruskan bidang kurikulum mahupun kokurikulum di institusi masing-masing. Para pendidik di negara kita seharusnya menjadikan budaya kerja secara berpasukan sebagai amalan kerana batas persaingan sebenar adalah pada peringkat antarabangsa, bukannya sesama sendiri. Sinergogi sebagai sains atau seni bekerja secara berpasukan mampu menghasilkan kuantum globalisasi yang diharapkan dapat meletakkan pendidikan negara ke persada antarabangsa. Kita perlu berpadu tenaga menjadikan sektor pendidikan sebagai sektor kepimpinan kerana pulangannya akan dinikmati oleh generasi pada masa kini dan akan datang.

Oleh hal yang demikian, bersesuaian dengan makna sinergogi, gabungan tenaga antara pendidik guru, murid, pihak pengurusan, sumber teknologi, dan persekitaran akademik perlu memahami sains bekerja sebagai sebuah pasukan. Pembentukan masyarakat madani misalnya, diasaskan kepada budaya ilmu seperti membaca, menulis, memikir dan menyelidik. Kegiatan rekreasi intelektual inilah yang akan menghasilkan idea, konsep, perspektif, gagasan, dan medan makna yang mampu meningkatkan profesionalisme keguruan ke peringkat global.

Selain itu, faktor persekitaran menjadi angkubah untuk ahli mengenal pasti varian yang perlu dihindari serta memberikan isyarat kepada pasukan untuk menunjukkan intervensi dan kewaspadaan dalam tindakan mereka yang sinergestik. Tindakan pasukan yang sinergestik itulah yang membawa perubahan ke arah yang lebih baik tanpa meminggirkan pihak lain. Persoalan yang hendak dijawab dalam buku ini juga meliputi bagaimana untuk menghasilkan tindakan sinergestik itu?

Sekalipun berlaku kadar pertumbuhan sosioekonomi yang pesat, kemajuan sains dan teknologi serta proses urbanisasi yang canggih, namun senario kelemahan struktur pasaran, penghakisan nilai asas akibat perspektif utilitarian dan kesan sampingan yang tidak dikehendaki, menuntut warga pendidik untuk menyahut cabaran dalam menyemai sikap menyanjung nilai peradaban dan meningkatkan jati diri budaya melalui sistem bekerja yang berorientasikan nilai asas dan teras serta menterjemahkan hasrat falsafah pendidikan kebangsaan untuk melahirkan insan guru yang seimbang dan harmonis.

Melalui hasil kajian sarjana dan sabatikal bahagian pendidikan guru yang dikaji oleh Mohd. Nor telah meneroka konsep sinergi dalam bidang pengurusan kurikulum pendidikan dan menghasilkan modul pengajaran mikro berasaskan sinergi. Dalam pendekatan ini, kurikulum pendidikan Islam dapat menterjemahkan konsep nilai asas, iaitu iman, Islam dan ihsan kepada nilai teras dan seterusnya kepada nilai kembangan lalu membentuk perspektif sosiografi. Sinergi itu sendiri mewakili medan makna yang serupa dengan konsepsi al-kuliyyah.

Faktor nilai mengikut perspektif Islam bersifat holistik. Melalui kaedah ini atau model sinergi berkenaan, penyelidik berusaha membina struktur kefahaman terhadap dinamika sosiografi Islam sebagai satu wacana keseluruhan tentang cara hidup yang komponennya tidak terpisah daripada nilai teras yang membina keseluruhan sistem Islam.

Hasil kajian mendapati, satu titik perbezaan antara psikologi sosial Islam dengan psikologi sosial ideologi lain telah menghasilkan kembangan secara sinergestik, manakala perkembangan bukan Islam melahirkan nilai tambahan atau nilai kembangan sahaja. Nilai psikologi Islam merupakan nilai penggerak kepada matlamat sesebuah organisasi, manakala nilai kembangan hanyalah komponen pelengkap kepada nilai asas.

Secara keseluruhannya, Sinergogi merupakan satu pendekatan belajar melalui kerja berpasukan dengan reka bentuk interaksi yang berstruktur. Aplikasinya akan memberikan faedah kepada program pendidikan di Malaysia kerana ilmu, kemahiran, dan nilai disepadukan ke arah melahirkan insan guru yang berketerampilan dan berkesan.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Ogos 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *