Mencintai Bahasa Semai Patriotisme

      No Comments on Mencintai Bahasa Semai Patriotisme

OLEH AMINUDIN MANSOR


Kini, bahasa Melayu ditulis dan digunakan oleh lebih 250 juta orang daripada 400 juta penduduk di Asia Tenggara. Hal ini merupakan kenyataan dan bukti jelas yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kelima terbesar di dunia apabila dilihat daripada sudut populasi yang bertutur dan menggunakan bahasa itu. Penutur bahasa Melayu juga terdiri daripada mereka yang berminat dan cinta akan bahasa ini.

Begitulah kekuatan yang ada pada bahasa Melayu sejak dahulu hingga kini. Untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang penting di dunia, misi yang perlu dilakukan adalah dengan bertindak memperkasakan bahasa Melayu di sekolah rendah, menengah, universiti serta dalam kehidupan masyarakat. Kejayaan bahasa Melayu tidak harus dipandang remeh atau dibiarkan begitu sahaja selepas 58 tahun merdeka. Usaha berterusan bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu mestilah dilakukan oleh semua pihak.

Mencintai bahasa Melayu dalam sebuah negara yang merdeka seperti Malaysia merupakan salah satu ciri ke arah pemupukan patriotisme iaitu dengan perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Bahasa Melayu yang menjadi alat mengeluarkan fikiran dapat diluahkan melalui seni kata lagu dan nyanyian seperti lagu Bahtera Merdeka dan beberapa lagu lain yang membuktikan semangat patriotik dapat dipancarkan melalui bahasa.

Pendeta Za’ba pernah menyatakan bahawa bahasa merupakan “alat mengeluarkan fikiran.” Perkaitan antara kedua-duanya sangat erat, iaitu bahasa yang digunakan hendaklah tepat untuk menggambarkan fikiran. Jelas beliau, “Bahasa itu alat mengeluarkan fikiran supaya dapat diketahui orang dengan mendengar atau membacanya. Maka, jika bahasa yang dipakai itu tidak menepati betul-betul seperti maksud yang ada di dalam hati, tentulah orang tersalah faham atau tiada dapat oleh mereka tujuan yang dikehendaki itu.” (Petikan: Bab Permulaan, Ceraian 4).

Dalam hal ini, pakar linguistik dan psikolinguistik tidak menafikan bahawa bahasa dan fikiran mempunyai jalinan antara satu sama lain. Tidak dinafikan juga bahawa bahasa memainkan peranan penting dalam pengungkapan cinta akan tanah air melalui sastera seperti  pantun, syair, gurindam dan sajak. Perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air iaitu melalui semangat patriotik juga dapat dilihat melalui karya sastera sebelum dan selepas merdeka.

Dasar Pelajaran Kebangsaan mula dilaksanakan secara rasminya pada tahun 1970 dengan menekankan penggunaan bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang berjaya memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk di negara ini. Dalam usaha untuk memperkukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa saintifik, bahasa Melayu telah melalui pelbagai peringkat pemantapan. Antaranya termasuklah penciptaan pelbagai istilah baharu terutama yang bersifat teknikal dan saintifik dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu oleh badan-badan berkaitan bahasa.

Menurut kajian, empat bahasa lain yang mempunyai bilangan penutur yang ramai ialah bahasa Inggeris, Cina, Perancis dan Sepanyol. Kenyataan ini tidak dapat dipertikaikan kerana kekuatan bahasa ini juga mampu menjadi bahasa ilmu di negara-negara tertentu. Bahasa ini seharusnya menjadi panduan kepada bahasa Melayu untuk menggalakkan orang ramai bertutur dalam bahasa Melayu.

Seperti  kata Charles V, “Aku bercakap (dalam bahasa) Sepanyol dengan Tuhanku, Itali dengan perempuan, Perancis dengan lelaki dan Jerman dengan kudaku.” Begitulah pelbagai bahasa dapat dimanfaatkan dalam pelbagai situasi. Di sinilah kekuatan dan kehebatan kepelbagaian bahasa yang dapat berfungsi dengan berkesan. Begitulah hebatnya peranan bahasa dalam kehidupan kita.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Ogos 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *