Patriotisme bahasa lambang kecintaan negara

      No Comments on Patriotisme bahasa lambang kecintaan negara

OLEH JENIRI AMIR

Sebelum dan selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957, antara persoalan yang sering dibangkitkan termasuklah lambang identiti kebangsaan negara. Dengan semangat kebangsaan yang masih membara, kumpulan etnik dominan khususnya dalam kalangan kumpulan nasionalis dan patriotik berasa perlunya budaya dan bahasa yang mempunyai kaitan dengan mereka dijadikan ikon dan identiti bangsa. Lagu, bendera dan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu perlu dijadikan lambang identiti sebuah negara baharu.

Pengiktirafan dan penerimaan lambang tersebut turut diterima oleh kumpulan etnik lain sebagai sebahagian daripada kontrak sosial, sekali gus melahirkan nilai kolektif kumpulan. Hakikat ini tidak boleh dikompromikan kerana patriotisme bahasa memerlukan komitmen semua pihak, iaitu bermula daripada pemimpit elit sehinggalah kepada rakyat marhaen. Sebagaimana semangat mempertahankan negara daripada ancaman musuh merupakan tanggungjawab bersama, maka menjadi tanggungjawab rakyat juga untuk memastikan kesuburan dan pengembangan bahasa. Hanya semangat patriotisme dan cinta akan bahasa sahaja memungkinkan kita merealisasikan impian ini.  Kecintaan rakyat dalam menggunakan bahasa kebangsaan merupakan antara unsur patriotisme yang penting, selain kesetiaan kepada raja dan negara. Patriotisme bahasa merupakan tanda bahawa rakyat Malaysia mempunyai identiti sebagai sebuah bangsa yang berdaulat dan merdeka.

Sesungguhnya, bahasa kebangsaan merupakan alat simbolik semangat kebangsaan yang paling berkesan bukan sahaja untuk mengabsahkan kedudukan kumpulan utama, iaitu etnik Melayu sebagai etnik dominan dan bumiputera di negara ini, malah sebagai alat penyatuan dan kesepaduan bangsa. Bahasa Melayu menjadi alat untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat melalui pelbagai wadah, terutamanya akhbar Melayu pada ketika itu.

Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, pernah menyatakan, “Adalah wajar bagi kita sebuah negara membangun berhasrat mempunyai bahasa kita sendiri. Sekiranya bahasa kebangsaan tidak diperkenalkan, negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian – apa-apa yang boleh saya ungkapkan sebagai negara yang tidak berjiwa dan bernyawa.”

Persoalannya, adakah bahasa kebangsaan menjadikan seseorang itu bersikap patriotik? Wujudkah kaitan antara bahasa kebangsaan dengan patriotisme?  Bolehkah kita menganggap bahawa mereka yang tidak menguasai dan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai tidak patriotik dan tidak sayang kepada bangsa dan negara? Ketika isu tentang cadangan calon yang hendak bertanding dalam pilihan raya diwajibkan lulus kertas Bahasa Melayu diajukan baru-baru ini, isu berkenaan bukan sahaja menjadi kontroversi, bahkan turut mengundang pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak. Malah, ada pemimpin politik daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang menganggap cadangan tersebut sebagai “bodoh”. Mereka menghujahkan bahawa, keupayaan berbahasa Melayu tidak memadai untuk mengukur kewibawaan dan kemampuan seseorang wakil rakyat. Daripada kes ini, kita dapat mengukur sikap rakyat Malaysia terhadap bahasa Melayu. Kesudahannya, disebabkan kritikan tajam terhadap cadangan tersebut, maka hal berkenaan tiba-tiba menjadi senyap dan tidak lagi diutarakan.

Kenyataan sesetengah kumpulan, khususnya daripada kalangan bukan Melayu bahawa peranan bahasa Melayu di negara ini berperanan semata-mata untuk tujuan komunikasi antara rakyat, bukan sahaja dangkal. Malah, kenyataan bahawa betapa pentingnya bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan boleh dipersoalkan, terutamanya jika kita melihat kepesatan pembangunan di beberapa negara seperti Korea, Jepun, China dan Thailand yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa utama dalam pentadbiran dan perniagaan.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Ogos 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *