Merdekakah Bahasa Kita?

      No Comments on Merdekakah Bahasa Kita?

PERKARA 152 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa “bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu”. Bahasa Melayu juga menjadi asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia yang merdeka. Persoalannya, adakah kita sudah benar-benar merdeka? Adakah kemajuan yang dikecap kini selari dengan kemajuan bahasa kita? Selepas hampir 60 tahun negara merdeka, penggunaan bahasa Melayu masih lagi menjadi isu dan polemik yang tidak berkesudahan.

Dalam bidang pendidikan, “episod” duka kedudukan bahasa Melayu yang paling hangat mendapat liputan pelbagai pihak, bermula daripada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Pada tahun 2003 kabinet pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda sebagai bahasa perantaraan bagi mata pelajaran sains dan matematik di semua peringkat pendidikan.

Rentetan daripada itu, pelbagai forum dianjurkan termasuk desakan dan demonstrasi oleh pelbagai pihak dengan objektif untuk menuntut dasar PPSMI dimansuhkan secepat mungkin supaya hak-hak istimewa bahasa Melayu dapat dikembalikan pada kedudukan asalnya.

Akhirnya, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengambil keputusan untuk memansuhkan sepenuhnya PPSMI pada 2016 bagi sekolah rendah, dan 2021 bagi sekolah menengah kerana kaedah pelaksanaannya terbukti gagal mencapai sasaran yang diinginkan. Maka, dasar tersebut digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh bahasa Inggeris (MBMMBI).

Amat menyedihkan, apabila terdapat kajian yang menunjukkan bahawa generasi muda daripada kaum Cina tidak tahu berbahasa Melayu. Malah, terdapat pelbagai jawatan yang perlu diisi di sektor swasta, antaranya memerlukan kefasihan pemohon dalam bahasa Mandarin dan Inggeris, berbanding dengan bahasa Melayu.  Pada masa yang sama, kebanyakan ahli politik di Malaysia lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris atau dwibahasa ketika diwawancara oleh media atau semasa berucap pada persidangan tertentu. Keadaan ini menimbulkan ketidakselesaan rakyat apabila kebanyakan pihak yang menghadiri majlis tersebut merupakan rakyat tempatan bukannya warga asing.

Memang tidak dapat dinafikan, penguasaan bahasa Inggeris merupakan asas yang diperlukan oleh rakyat Malaysia untuk berhubung dengan pihak luar. Bahkan, kita turut digalakkan untuk menguasai bahasa lain seperti Mandarin, Jepun, Korea, serta Arab. Walau bagaimanapun, sikap patriotik terhadap bahasa Melayu perlu diterapkan dalam setiap sanubari rakyat Malaysia.

Sewajarnya, selepas lama negara kita merdeka, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi semakin mantap-bukan lagi menjadi isu yang menggusarkan hati semua pihak. Perlu diingatkan bahawa, segalanya bertitik tolak daripada sikap dan persepsi masyarakat serta kerajaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sidang editor Pelita Bahasa mengucapkan Selamat Hari Merdeka yang ke-58 kepada semua rakyat Malaysia.

Abd. Kadir Mohd. Ayub

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *