Metafora dalam Peribahasa Melayu

      No Comments on Metafora dalam Peribahasa Melayu

Oleh JASMAN BANDAR

Masyarakat Melayu sangat mementingkan unsur metafora dalam kehidupan harian  mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka mengutamakan kesopanan ketika berbahasa. Melalui cara inilah, mereka mengutarakan idea dan pemikiran mereka.  Idea dan falsafah akan mudah disampaikan. Penyampaiannya dilakukan secara kiasan tanpa menyebabkan seseorang  berasa tersinggung atau sakit hati mendengar teguran dan nasihat yang diberikan oleh sesama masyarakat itu.

Dalam kehidupan ini, kita mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan. Keadaan ini menyebabkan kita kadangkala lari daripada jalan kehidupan sebenar. Peristiwa inilah yang dijadikan oleh masyarakat Melayu sebagai analogi metafora yang disampaikan dengan menggunakan peribahasa untuk dijadikan sebagai  teladan dan sempadan terhadap tingkah laku yang tidak bermoral atau kurang sopan.

Masyarakat Melayu sangat menyanjung adat. Keadaan ini menyebabkan  munculnya peribahasa  “biar mati anak, jangan mati ada”.    Peribahasa ini digunakan sejak zaman dahulu hingga kini sebagai pengajaran kepada manusia tentang nilai adat yang perlu dipertahankan. Menurut Kamus Dewan,  “biar mati anak, jangan mati adat” bermaksud berpegang teguh pada sesuatu kepercayaan walaupun terpaksa mengorbankan sesuatu.

Melalui analogi peribahasa tersebut, kita dapat melihat bahawa adat sememangnya membawa pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan masyarakat Melayu. Melalui unsur personifikasi yang digambarkan dalam metafora perbandingan peribahasa ini,  kita dapat memahami gambaran tingkah laku manusia yang bersifat subjektif. Unsur perorangan dalam peribahasa ini digunakan untuk menunjukkan  nilai adat ini, seperti dalam kehidupan manusia. Nilai ini akan mengalami proses kematian jika tidak dijaga dengan baiknya, bahkan akan terus hilang daripada amalan dan hati manusia jika tidak dipelihara dan dijadikan sebagai warisan oleh masyarakat.

Unsur pemikiran dan idea dalam masyarakat Melayu juga disampaikan melalui peribahasa  yang selalu digunakan hingga hari ini, seperti  “harapkan pagar, pagar makan padi”. Peribahasa ini membolehkan kita memahami unsur personifikasi yang diutarakan  melaluinya dari aspek fizikal. Secara langsung, peribahasa ini membuka minda kita untuk berfikir melalui metafora yang digunakan bagi mengungkap kegiatan manusia dalam kehidupan harian. Jelaslah bahawa peribahasa ini menerangkan keadaan yang digambarkan dalam kehidupan manusia. Hal ini diterjemahkan melalui metafora dalam peribahasa ini.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Julai 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *