Bahasa Melayu Bahasa Rasmi Asean: Perjalanan 1000 Kilometer

Oleh JENIRI AMIR


Rantau Asean merupakan rantau yang menggelegak dari segi pertumbuhan ekonomi. Rantau tersebut merupakan antara rantau ekonomi paling terbuka di muka bumi dengan jumlah keseluruhan eksport barangan sebanyak AS$1.2 trilion – hampir 54 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan tujuh peratus daripada eksport global. Jika ekonomi Asean disatukan, ekonomi tersebut merupakan ekonomi ketujuh terbesar di dunia. Jika trend pertumbuhan itu berterusan seperti sekarang, dijangkakan ekonomi Asean bakal muncul nombor empat terbesar di dunia menjelang tahun 2050.

Jika dari segi ekonomi sudah terdapat kerjasama yang agak baik, bagaimana pula dengan kerjasama dalam bidang lain?  Sebagai implikasinya, kerjasama rapat perlu diwujudkan bukan sahaja dari segi teknologi, pendidikan dan seumpamanya, tetapi juga dari segi budaya dan bahasa.  Asean perlu menampilkan jati diri dan kerjasama yang baik dalam pelbagai bidang selari dengan slogan “Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti”. Menurut laman web Asean, komuniti sosiobudaya boleh menyumbang kepada hasrat merealisasikan komuniti Asean yang berpaksikan rakyat dan mencapai perpaduan dalam kalangan rakyat dan negara anggota serantau itu. Hal ini juga bertujuan untuk membentuk satu identiti bersama dan membina masyarakat penyayang dan saling berkongsi yang inklusif serta meningkatkan kesejahteraan, kehidupan, dan kebajikan rakyat di rantau ini.

Hakikat ini dapat dicapai, antaranya, melalui penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.  Impian untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa serantau tidak harus dikendurkan. Segala strategi perlu dilaksanakan untuk memastikan hal tersebut menjadi kenyataan. Negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu meneruskan perjuangan itu.

—-

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Julai 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *