Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata

      No Comments on Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata

Pelita Bahasa Mac 2000 mengetengahkan usul menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa rasmi ASEAN menjelang tahun 2005.  Makalah tersebut mencatatkan bahawa sebelum kedatangan penjajah Barat ke Asia Tenggara, bahasa Melayu memang sedia digunakan dalam serba-serbi, terutama pentadbiran dan perdagangan.  Catatan Stamford Raffles membuktikan betapa meluasnya bahasa itu digunakan dalam urusan rasmi di kepulauan Melayu sehingga dia terpaksa bergantung pada pakar bahasa dan linguistik dalam usaha mempelajari dan menguasai bahasa dan budaya Melayu bagi membolehkannya berkomunikasi dengan berkesannya dengan pembesar Melayu pada abad ke-18 dan ke-19.

Menurut Dato’ Dr. Hassan Ahmad, kedudukan bahasa Melayu dalam beberapa tahun mendatang (mulai tahun 2000) banyak bergantung pada senario perubahan politik di rantau tersebut.  Pada ketika itu, kejayaan Timor Leste menuntut kemerdekaan daripada Indonesia mendorong beberapa buah wilayah lain, seperti Aceh, Maluku, Bali dan Ambon, membuat tuntutan yang sama, atas kepentingan etnik dan agama. Dengan itu, jika berjaya (hingga kini tidak berjaya), jumlah negara yang menggunakan bahasa Melayu, dengan variasi yang tersendiri, bertambah meskipun jumlah penuturnya kekal.

Menurut Yazid Othman, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa kagum dengan cara Malaysia mengatasi kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998.  Idea dan pendekatan penyelesaian kegawatan tersebut tentulah dicetuskan oleh pemimpin negara.  Kata presiden Persatuan Wartawan Melayu Malaysia ketika itu lagi, jika idea yang bernas itu diungkap sekian banyak kali dalam bahasa Melayu dalam sekian banyak kali persidangan ekonomi antarabangsa, maka bertambah banyaklah komuniti antarabangsa yang ingin mempelajari bahasa itu.

Sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia sewajarnya mengambil peluang dan ruang ini untuk mengusulkan langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa rasmi komuniti tersebut.  Pada suatu ketika dahulu juga, ada kedengaran ura-ura untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) setelah wakil tetap negara ke pertubuhan itu, Tan Sri Razali Ismail, berucap dalam bahasa tersebut, walaupun hanya sepatah dua sahaja. Namun demikian, hasrat murni untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa rasmi ASEAN dan PBB makin menyepi, sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Pada hakikatnya, usul tersebut dapat diikhtiarkan dengan menjadikannya sebagai satu daripada wawasan negara.  Usaha ini dapat dilakukan dengan kerjasama Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu, Majlis Bahasa Brunei Darusssalam, Indonesia dan Malaysia, Majlis Sastera Asia Tenggara dan Forum Kerjasama Penerbitan Serantau (perlu digerakkan semula secara aktif).  Mekanismenya sudah sedia ada sejak sekian lama.  Yang diperlukan sekarang ialah perancangan teliti (seperti Rancangan Malaysia), dan iltizam biar putih tulang jangan putih mata kepemimpinan tanah tumpah darah.

Salam Aidilfitri 1436.

Armin  Azhari Saleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *