Bahasa Melayu untuk Penutur Asing

      No Comments on Bahasa Melayu untuk Penutur Asing

Oleh JYH WEE SEW

Pendidikan Bahasa Melayu sebagai bahasa asing pada peringkat universiti agak berbeza daripada situasi pemelajaran bahasa itu di sekolah menengah atau sekolah rendah. Kelainan yang jelas ialah pelajar menara gading lebih matang dan memiliki penguasaan bahasa pertama dan bahasa kedua yang lain. Sebagai pelajar yang membayar yuran pendidikan, mereka berpengaruh besar dalam perancangan kursus pendidikan. Sememangnya komunikasi bertimbal balik antara pensyarah dengan pelajar yang berterusan tentang keberkesanan kurikulum sesuatu modul dapat menggiatkan proses pemantapan kualiti bagi modul tersebut secara dinamik.

Maklum balas kepada pensyarah daripada seorang pelajar universiti yang pulang daripada latihan kerja sambil belajar dapat dianggap sebagai perkembangan yang positif. Pelajar perempuan tersebut tamat pendidikan Bahasa Melayu pada peringkat pertengahan. Bagi mengisi masa cuti sepanjang dua bulan, pelajar itu menjalani latihan kerja sambil belajar di sebuah kementerian. Tenaganya diterima baik kerana secara kebetulan, kementerian tersebut memerlukan kakitangan yang fasih berbahasa Melayu dan mahir dalam penulisan Melayu.

Sekembalinya pelajar tersebut ke kampus, maklum balas tentang kepentingan beberapa kemahiran bahasa telah dicadangkan kepada pengajar Bahasa Melayu. Pengalaman semasa menjalani tugasan harian dapat dianggap sebagai kayu pengukur keberkesanan pencapaian akademik dalam dunia pekerjaan yang sebenar. Sebarang maklumat daripada pihak industri sebetulnya prasaran yang bersifat prokerjaya. Maklum balas ini amat dihargai oleh pihak pendidikan tinggi dalam penilaian daya saing pendidikan Bahasa Melayu asing di alam pekerjaan demi pemupukan kualiti pendidikan bahasa itu.

Rencana ini dipetik daripada Pelita Bahasa Bil. 6 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *